Tahfiz dan madrasah boleh dibuka mulai 24 Jun, kata KP Kesihatan


Ravin Palanisamy

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kementerian Kesihatan akan melakukan pengawasan di sekolah tahfiz dan madrasah dari semasa ke semasa bagi memastikan SOP dipatuhi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Jun, 2020.

SEKOLAH tahfiz dan madrasah di seluruh negara boleh kembali dibuka mulai 24 Jun walaupun sejumlah kes baharu Covid-19 masih dikesan di institusi berkenaan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata walaupun pusat ini dibenarkan dibuka, Kementerian Kesihatan akan melakukan pengawasan dari semasa ke semasa bagi memastikan mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Mereka dapat membuka sekolah dan pusat pembelajaran tetapi tugas Kementerian Kesihatan adalah melakukan pemeriksaan dari semasa ke semasa.

“Ini cara Kementerian Kesihatan memantau dan melakukan pengawasan sehingga kita dapat mengesan kemungkinan adanya kes,” katanya menjawab pertanyaan adakah sekolah tahfiz dan madrasah dapat dibuka pada hari sama sekolah kerajaan lain.

Hari ini Malaysia mencatatkan enam kes baharu di mana salah satu penularannya dilaporkan di sebuah sekolah tahfiz di Kuala Lumpur. 

Sehingga 19 Jun sebanyak 435 sekolah tahfiz dan madrasah disaring.

Jumlah pelajar, guru dan kakitangan di sekolah ini adalah seramai 23,349.

Sebanyak 19,050 sampel diambil dan 722 diuji positif.

Noor Hisham berkata pengawasan akan diteruskan walaupun negara sudah bebas dari perintah kawalan pergerakan pemulihan.

Selain enam kes baharu, seramai 70 orang pulih dengan tidak ada kematian direkodkan. – 19 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen