CEO Yayasan Felda akur, yakin kakitangan akan diberi pampasan wajar


Nabihah Hamid

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Felda, Dr Emel Faizal Mohd Mokhtar mengakui tidak menyedari mengenai pemberhentian 68 kakitangan yayasan tetapi akan menerima sebarang keputusan Felda mengenai rancangan penstrukturan semula. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Disember, 2017.

KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Felda, Dr Emel Faizal Mohd Mokhtar yang merupakan seorang daripada puluhan kakitangaan yang akan diberhentikan menjelang akhir tahun ini yakin mereka akan diberi pampasan sewajarnya.

Dilantik sebagai CEO pada 2011, beliau mengakui tidak menyedari mengenai perkara itu tetapi akan menerima sebarang keputusan Felda mengenai rancangan penstrukturan semula.

“Saya okay saja. Itu hak dan keputusan Felda. Ia tidak akan menganaktirikan pekerja-pekerja meraka. Felda ini prihatin. Saya ikut dan hormati keputusan pentadbir Felda,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight dan enggan mengulas lanjut serta menyerahkannya kepada pihak pentadbiran untuk urusan seterusnya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan akhbar Singapura, The Straits Times (ST) mengenai pemberhentian 68 pekerja yayasan itu.

Pengerusi Felda, Shahrir Samad memberitahu ST, pihak Felda bukan menutup operasi yayasan tersebut sebaliknya ia adalah rancangan menstruktur semula.

Shahrir turut dilaporkan mendedahkan gaji CEO yang berjumlah RM54,000 sebulan.

“Kami bukannya menutup Yayasan Felda, tetapi kami perlu melakukan penstrukturan semula,” kata ahli Parlimen Johor Bahru itu.

Emel Faizal bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai gajinya dan menegaskan tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai pampasan.

“Kita ikutlah keputusan. Bagi saya tiada apa-apa. Mengenai (isu) gaji terpulanglah.

“Saya tidak tahu pampasan sebab saya pun terbabit jadi saya tidak terlibat dalam perbincangan,” katanya.

Yayasan tersebut menerima peruntukan RM10 juta setahun bagi menguruskan kolej Felda, sebuah pusat dialisis dan kebajikan bagi peneroka serta keluarga mereka.

Antara pencapaian Yayasan Felda ialah perakuan sebuah badan berpusat di United Kingdom, C&G yang memuatkan logo yayasan pada setiap sijil kemahiran lepasan pelajar yang dikeluarkan oleh C&G di Asia pada 2013.

Tiada yayasan atau pertubuhan di Asia Tenggara menerima pengiktirafan itu sejak C & G ditubuhkan dan kebanyakan daripada institusi lain yang menerima penghormatan serupa kebanyakannya dari UK, lapor Utusan Online.

Bekas pengerusi Felda, Isa Samad meletak jawatan Jun lalu selepas berdepan siasatan skandal pembelian hotel dalam dan luar negara yang melebihi daripada harga pasaran.

Isa dilantik sebagai pengerusi dan pengarah eksekutif bukan bebas FGV pada 1 Januari, 2011.

Semakan The Malaysian Insight mendapati laman sesawang rasmi Yayasan Felda sedang diselenggara. – 1 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen