AKTIVITI sukan air seperti terjun dan menyelam dibenarkan bermula 25 Jun, kata Ismail Sabri Yaakob.
Menteri kanan memberitahu sidang media hari ini, Majlis Keselamatan Negara akan mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) untuk kolam renang di hotel atau arena tertutup.
“Kami memutuskan membenarkan pembukaan sektor sukan air dalam kolam renang untuk aktiviti latihan tanpa sentuhan fizikal.
“Bagaimanapun ia akan dihadkan mengikut kapasiti kolam, dan perlu patuhi SOP termasuk penjarakan sosial, penggunaan aplikasi MySejahtera dan meninggalkan premis atau tempat latihan secepat mungkin selepas tamat sesi latihan.
“Bagi aktiviti renang di hotel atau tempat awam, kami secara prinsipnya bersetuju namun SOP sedang dirangka. Kita perlu hadkan jumlah orang dalam kolam.
“Sebagai contoh di kondominium, tidak boleh terlalu ramai dalam satu-satu masa,” tambahnya.
Di bawah perintah kawalan pergerakan pemulihan yang bermula awal bulan ini, sukan seperti joging, badminton dan seni pertahanan diri secara sendirian dibenarkan beroperasi semula.
Kerajaan juga membatalkan halangan perjalanan rentas negeri dan membenarkan pelancongan dalam negara dibuka semula.
Hari ini, Ismail Sabri turut mengumumkan yang Malaysia akan membuka sempadannya kepada penduduk Singapura dan Brunei serta membenarkan pelajar warga asing kembali untuk meneruskan pengajian. – 19 Jun, 2020.
Komen