SEORANG lelaki ditahan kerana didakwa menjual borang yang menawarkan Mykad sebagai tukaran untuk mengundi Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umu ke 14 akan datang.
Pesuruhjaya Polis Sabah Ramli Din mengesahkan lelaki terbabit dikenal pasti sebagai “Panglima” dari Simunul, Semporna ditahan oleh Jabatan Imigresen.
Pertukaran Mesej antara seorang Pegawai Esscom dan seorang awam yang tidak dinamakan diperolehi The Malaysian Insight mendedahkan borang berkenaan telah diedarkan dan dijual pada harga RM54 sekeping.
Pegawai berkenaan berkata, mereka yang membeli borang terbabit adalah dari Kalabakan dan individu berkenaan dikenal pasti sebagai ahli Umno.
Pegawai terbabit kemudiannya berkata, lelaki berkenaan telah ditahan di Kuantan, Pahang.
Gambar borang berkenaan tular di media sosial selepas ia dimuat naik di Facebook oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teratai Tiew Way Keng.
Pengerusi NGO Pakatan Pro BN Zulkarnain Mahdar berkata borang berkenaan dimuat naik pada 26 Disember, bersama status yang mendakwa BN menjadi dalang di sebalik borang kontroversi itu.
“Tiew sepatutnya mendapatkan kesahihan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berhubung borang itu sebelum membuat tuduhan melulu,” katanya.
Pada Ahad, JPN menafikan mengeluarkan borang yang dicetak dengan jata negara, logo 1Malaysia dan log jabatan terbabit.
Pada Rabu, dua laporan polis dibuat, satu oleh Zulkarnain di Balai Polis Karamunsing di Kota Kinabalu dan satu lagi oleh sayap pemuda United Pasokmomogun Kadazandusun Murut (Upko) di Tuaran pada 29 November. – 1 Disember, 2017.
Komen