AKTIVITI pembalakan di kawasan penduduk Orang Asli harus dikaji dan dibincangkan sebelum ia dilaksanakan, kata Senator Manolan Mohamad yang mewakili kaum minoriti itu di Dewan Negara.
Katanya, Putrajaya mesti lebih telus dan berdialog dengan Orang Asli sebelum melakukan kerja seperti itu yang akan menyebabkan kehidupan mereka terjejas.
“Kerajaan perlu berdialog, berunding dan harus telus dengan maklumat yang diberikan kepada Orang Asli. Perbincangan dengan mereka mesti dilakukan sebelum pembalakan dilakukan,” kata senator PKR, yang juga Orang Asli, dalam forum yang disiarkan secara dalam talian bertajuk“ Orang Asli Bersuara: Menghadapi Cabaran Pasca PKP”.
Beliau merujuk pada penyambungan semula aktiviti pembalakan di hutan simpan Air Chepam di Hulu Perak semasa forum di Facebook yang dianjurkan oleh Pusat Keprihatinan Orang Asli (COAC).
The Malaysian Insight melaporkan semalam syarikat pembalakan kembali dengan jentolak dan traktor untuk menebang pokok dan membersihkan tanah di hutan simpan Air Chepam berhampiran sebuah kampung Temiar di Kampung Sungai Papan.
Penduduk kampung dan aktivis tempatan berkata pembalak kembali selepas kerajaan negeri bertukar tangan, berikutan kejatuhan Pakatan Harapan di peringkat persekutuan dan pengambilalihan oleh Perikatan Nasional.
Mereka percaya pembalak berasal dari syarikat sama yang cuba menceroboh hutan mereka tahun lalu.
Penduduk kampung Termiar membina semula sekatan buluh dan kayu di jalan berlumpur menuju ke hutan bagi mengelakkan pembalak daripada meneruskan operasi mereka.
Manolan memberitahu forum dalam talian yang pembalakan menyebabkan kesan besar kepada masyarakat Orang Asli kerana sumber hutan untuk makanan dan air terjejas teruk.
“Sumber air mereka tercemar dan sumber pendapatan turut terjejas kerana bergantung kepada hutan ini.
“Jadi, ketika hutan diceroboh dan pembalakan berlaku, ia memberi kesan besar kepada masyarakat Orang Asli,” katanya.
Kaum Temiar di daerah itu mendakwa 42 hektar adalah sebahagian daripada tanah nenek moyang mereka dan menentang percubaan pembalakannya. – 19 Jun, 2020.
Berita penuh di sini
Komen