SERAMAI 115 ilmuan kedoktoran di universiti tempatan menyeru rakyat menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sehingga sampai tempoh masa untuk Pilihan Raya Umum ke-15.
“(Kami) menyeru supaya semua golongan rakyat memberi penghormatan dan sokongan penuh kepada kerajaan semasa yang diketuai oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menterinya untuk mengemudi negara sehingga dikembalikan mandat untuk PRU15 mengikut peruntukan yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama.
Kenyataan dikeluarkan oleh dua profesor emeritus, 21 profesor, 37 profesor madya dan 55 pensyarah kanan dari 21 universiti awam tempatan dan empat institusi pengajian tinggi swasta.
Mereka disertai 15 pensyarah bersara terdiri daripada tiga bekas profesor emeritus, tujuh profesor dan lima profesor madya.
Mereka diketuai jurucakap iaitu Prof Dr Teo Kok Seong dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) dan Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Kenyataan ini dikeluarkan ketika kerajaan Muhyiddin yang mempunyai majoriti tipis melepasi tempoh 100 hari pentadbiran selepas mengambil alih Putrajaya melalui percaturan politik setelah kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dipilih melalui PRU14 tumbang.
Muhyiddin yang juga presiden Bersatu menarik partinya keluar dari PH pada hujung Februari, sementara kumpulan ahli Parlimen yang setia kepada timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali ketika itu juga keluar parti.
Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan perdana menteri pada hari yang sama, menyebabkan kabinetnya runtuh ketika PH juga hilang majoriti di Dewan Rakyat.
Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 1 Mac selepas Bersatu membentuk gabungan atas nama Perikatan Nasional (PN) bersama Umno dan PAS, dan mendapat sokongan komponen Barisan Nasional (BN) dan parti-parti dari Sabah dan Sarawak.
Dalam kenyataan itu, 115 pensyarah itu juga menyeru PN didaftarkan secara rasmi manakala semua pembangkang bergabung di bawah PH dan membentuk barisan kabinet bayangan.
Mereka mahu kerajaan berfungsi dengan lebih berkesan mencari penyelesaian kepada masalah rakyat akibat pandemik Covid-19.
Mereka juga mahu pembangkang memainkan peranan semak dan imbang yang sihat dan membina kepada kerajaan.
Mereka juga menyeru semua pihak agar akur kepada sistem politik Malaysia serta “menghentikan sebarang propaganda dan usaha yang boleh menggugat kestabilan politik” demi memelihara kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara.
Mereka mengeluarkan kenyataan berkenaan atas kesedaran tinggi bahawa suara golongan ilmuan mampu mencorakkan hala tuju negara di saat sedang berhadapan dengan tempoh kritikal.
“Besarlah harapan kami agar suara kami ini dipandang berat oleh semua pihak yang berkenaan mahupun oleh seluruh rakyat kerana di belakang kami terdapat ratusan lagi Ilmuwan PhD IPT Malaysia yang menyokong kuat usaha kami tanpa mahu mendedahkan nama mereka,” kata kenyataan itu. – Bernama, 19 Jun, 2020.
Komen