Stesen TV Bolivia siar detik akhir pesakit Covid-19 cetus kemarahan


Orang ramai pekerja kesihatan di hospital Los Andes yang mengambil bahagian dalam protes menuntut kondisi kerja lebih baik dalam memerangi koronavirus, di El Alto, Bolivia pada 16 Jun, 2020. – Gambar EPA, 19 Jun, 2020.

SATU saluran televisyen di Bolivia mencetuskan kontroversi pada Khamis selepas menyiarkan secara langsung detik akhir pesakit Covid-19 ketika beberapa doktor berusaha keras untuk menyelamatkannya.

Program “No Lies” berkata ia mengambil keputusan menyiarkan saat kematian pesakit Covid-19 di sebuah hospital di bandar Santa Cruz di timur bagi menggesa tindakan pihak berkuasa yang mengabaikan perkhidmatan kesihatan.

Program ini disiarkan setiap malam di saluran PAT yang berpusat di Santa Cruz, di wilayah yang mempunyai kira-kira 60% daripada 21,000 keseluruhan kes Bolivia dan anggaran separuh daripada 679 jumlah kematian.

Program itu menunjukkan saat nazak pesakit selama 30 minit ketika doktor berusaha untuk menyedarkannya semula.

Seorang ombudsman negara itu, Nadia Cruz, mengecam siaran itu kerana bersifat “sensasionalisme” dan berkata ia “berulang kali dan ngeri” memaparkan “imej menunjukkan rawatan kardiopulmonari dilakukan pada seseorang, yang malangnya berakhir dengan kematian.”

Siaran itu “jelas bertentangan dengan peraturan undang-undang negara,” kata Cruz, sambil menambah ia"boleh menimbulkan semacam ketakutan kolektif.”

Pejabatnya adalah badan bebas yang dilantik untuk menyiasat aduan terhadap kerajaan atau organisasi awam.

Siaran itu menerima kritikan hebat di rangkaian sosial, termasuk wartawan terkemuka.

“Tiada rasa hormat kepada keluarga, bagi si mati. Kita kehilangan banyak perkara disebabkan virus ini, termasuk empati,” kata wartawan Maria Trigo, daripada akhbar El Deber de Santa Cruz, dalam hantara di Twitter.

Fabiola Chambi, seorang wartawan akhbar Cochabamba Los Tiempos berkata program itu menunjukkan “kurangnya rasa hormat dan kemanusiaan.”

Kerajaan masih belum mengulas mengenai kontroversi tersebut. – AFP, 19 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen