INDUSTRI pelancongan terjejas teruk akibat pandemik Covid-19, memaksa pemain industri Airbnb menawarkan sewaan jangka panjang bagi mengurangkan beban kewangan mereka.
The Malaysian Insight difahamkan, pemilik premis percutian dan homestay mencari pelbagai kaedah untuk menarik penyewa sepanjang tempoh Peerintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Pemasaran Airbnb Vivo, Hei Hui Xin berkata, kini penyewa utama adalah mereka dari luar negara yang terkandas kerana penutupan sempadan.
“Pelancong datang melancong ke sini, namun disebabkan PKP mereka tidak boleh kembali ke negara asal dan terpaksa menyewa kemudahan penginapan di sini.
“Sama juga bagi mereka dari negeri lain. Mungkin mereka datang ke Kuala Lumpur untuk bekerja dan kemudian terkandas kepada PKP,” kata Hei.
Menurutnya, pemilik hartanah juga sanggup mengurangkan harga mereka ketika PKP agar ia disewakan secepat mungkin.
Sementara itu, Pengarah Sleepy Bear Ong Xun Rui bersetuju dengan langkah itu dan berkata unit kosong tidak akan menjana pendapatan, walaupun syarikat sudah mengambil inisiatif untuk membantu pelanggan menyewakan hartanah mereka.
“Kini, Airbnb juga menawarkan sewaan jangka panjang dan sederhana, bukan hanya jangka pendek. Ada sewaan yang diberikan sehingga setahun. Secara asasnya, pemilik menyerahkan hartanah kepada kami untuk diuruskan dan kami membuat aturan berdasarkan situasi.
“Sebelum ini Airbnb memenuhi kehendak pelancong namun kini kami tidak dapat jana pendapatan. Kami akan ubah model perniagaan secepat mungkin bagi mengelakkan situasi tanpa pendapatan,” kata Ong.
Hei berkata, beliau menguruskan 25 unit Airbnb di Lembah Klang. Katanya pemilik sebelum ini enggan menuntut semula hartanah mereka daripada syarikat kerana pandemik.
“Saya telah bertemu dengan dua pemiik yang mahu mempertimbangkannya. Tetapi sebelum itu, kami akan jelaskan situasi kepada mereka dan biar mereka buat keputusan.
Jana pendapatan menerusi pelancongan domestik
Ong berkata, kebanyakan pemilik hartanah menggunakan Airbnb sebagai pendapatan sampingan dan pendemik menyebabkan kebanyakan mereka berdepan masalah sehingga ada yang menarik diri.
“Sejujurnya, menguruskan Airbnb sama seperti kedai kopi, sekiranya tiada pendapatan jalan yang terbaik adalah tutup kedai. Jika tidak lebih banyak perbelanjaan diperlukan,” katanya.
Airbnb memfokuskan kepada pasaran pelancongan namun pandemik dan sekatan perjalanan yang dikuatkuasakan menyebabkan kadar sewaan hartanah menjunam sejak tiga bulan lalu.
Ong yang mengasaskan dan menguruskan syarikat itu selama lima tahun berkata, perniagaan Airbnb akan dikurangkan sehingga 50% selagi sempadan Malaysia ditutup dan pelancong tidak boleh masuk ke negara ini.
Beliau juga berkata, kawasan yang bergantung sepenuhnya kepada pelancong akan terjejas teruk seperti Johor.
“Di Lembah Klang misalnya, katakan hartanah terletak di Petaling Jaya. kemudian situasi tidak seteruk mana kerana kawasan itu memfokuskan kepada perniagaan pelancongan dan itu yang memulihkannya.
“Namun di Kuala Lumpur, banyak bekalan dan pasaran yang memfokuskan kepada pelancong, jadi pemulihannya perlahan. Kini pemilik menggunakan harga rendah untuk menarik penyewa dan ini membawa kepada persaingan yang sengit,” kata Ong.
Katanya, pelancongan domestik juga perlahan kerana kebanyakan masyarakat hanya melakukan perjalanan untuk melawat keluarga atau saudara mara.
Sementara itu, Hei berkata tiada tempahan langsung sepanjang tempoh PKP, namun kini pada peringkat pemulihan, terdapat satu atau dua tempahan sehari.
“Masih tiada tempahan, mungkin pelancongan domestik akan pulih dalam sebulan,” katanya.
Beliau berkata, bagaimanapun situasi Covid-19 masih tidak menentu dan ramai yang tidak berani untuk keluar dan lebih banyak masa diperlukan untuk kembalikan keyakinan orang ramai. – 19 Jun, 2020.
Komen