Universiti, kolej swasta kerugian hingga RM11 bilion tahun ini 


Sheridan Mahavera

Penurunan pendaftaran pelajar di IPT memberi kesan kepada institusi terbabit terutamanya institusi swasta yang bergantung kepada jumlah pelajar.– Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Jun, 2020.

BERMULA bulan hadapan, sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur memotong gaji kakitangannya sehingga 30% dan memaksa mereka mengambil cuti tanpa gaji ketika cuba bertahan berikutan impak daripada pandemik koronavirus.

Memo daripada pentadbiran kolej berkenaan kepada kakitangannya yang dilihat The Malaysian Insight menyatakan, ia terpaksa mengambil langkah drastik itu kerana kekurangan pelajar antarabangsa yang mendaftar susulan sekatan perjalanan di seluruh dunia.

Malaysia, bersama banyak lagi negara dunia lain, masih menyekat kemasukan warga asing ketika mula membuka semula ekonomi selepas menguatkuasakan sekatan perjalanan bagi mengekang penularan virus.

Kolej berkenaan merupakan salah atu daripada 100 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Malaysia yang berdepan masalah kewangan berikutan penurunan jumlah pelajar asing dan tempatan, kata kumpulan industri berkenaan.

Ini mewakili kira-kira satu perempat daripada 443 institusi seperti itu di negara ini, menurut data Kementerian Pengajian Tinggi.

Persatuan Kolej-kolej dan Universiti-universiti swasta Malaysia (Mapcu) memberitahu The Malaysian Insight, IPTS di seluruh Malaysia dijangka akan kerugian antara RM7.22 bilion dan RM11.3 bilion tahun ini.

Presidennya Parmjit Singh berkata, penurunan itu bukan hanya berlaku di Malaysia, tetap juga di negara-negara mempunyai pelajar asing yang ramai.

Sektor pendidikan di Amerika Syarikat dijangka akan kerugian AS$23 bilion kerana penurunan 25% pelajar antarabangsa dan 15% pelajar tempatan, kata Parmjit.

Di Australia, kerugian dijangka pada AUS$16 bilion daripada sekarang hingga 2023 antara ASU$3.1 bilion dan AUS$4.8 bilion tahun ini.

Di United Kingdom, dijangka £463 juta kerugian dalam perbelanjaan tuisyen dan sara hidup kerana kekuranga pelajar dari Asia Timur, tambah Parmjit.

Pelajar universiti di Hungary keluar daripada kolej penginapan susulan penutupan institusi pengajian berkenaan berikutan wabak Covid-19. Pandemik itu memberi kesan kepada institusi pengajian tinggi di seluruh dunia. – Gambar EPA, 20 Jun, 2020.

Kertas taklimat Parlimen UK menyatakan penurunan 100% yuran pelajar antarabangsa akan menyebabkan kerugian £6.9 bilion dalam sektor pengajian tinggi UK.

Di Malaysia, lebih 50% penurunan jumlah pelajar antarabangsa bagi tahun ini,” kata Parmjit kepada The Malaysian Insight.

“Ini adalah masalah berganda kerana situasi pasca Covid-19 akan membawa kepada penurunan pelajar tempatan dan ini sebahaian besarnya menyumbang kepada isu berkaitan kemampuan. 

“Justeru, penting untuk pelajar antarabangsa kembali secepat mungkin.”

Tahun yang suram

Penutupan sempadan Malaysia bermula 18 Mac merupakan sebahagian daripada sekatan perjalanan bagi mengekang penularan koronavirus, yang mana setakat semalam ia menjangkiti 8,529 orang di negara ini.

Kolej dan universiti awam dan swasta masih ditutup sehingga tamat Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada 31 Ogos.

Menurut data Kementerian Pengajian Tinggi, setakat Mac, 2020 terdapat 443 IPTS di Malaysia terdiri daripada universiti, kolej universiti dan kolej.

Pada 2018, lebih 92,400 pelajar antarabangsa mendaftar di IPTS dan kira-kira 39,000 mendaftar di IPTA.

Lima negara sumber pelajar antarabangsa pada 2018 adalah Bangladesh iaitu kira-kira 22,100, China (16,300), Nigeria (11,100), Indonesia (10,700) dan Yaman (7,300).

Parmjit juga berkata, kebanyakan institusi pengajian tinggi biasanya mempunyai jumlah pelajar tempatan yang tinggi berbanding pelajar antarabangsa.

Namun, oleh kerana komposisi pelajar asing adalah antara 10% dan 40%, sebarang penurunan akan memberikan impak besar kepada keseluruhan institusi berkenaan, katanya.

Selain itu, 20% -30% pelajar antarabangsa yang masih menamatkan pengajian di Malaysia tetapi telah kembali ke negara asal mereka boleh memilih untuk menangguhkan pengajian mereka ke semester depan, katanya.

Penurunan pelajar tempatan dan penurunan 50% pelajar asing akan memberi kesan besar kepada pendapatan institusi dan mengakibatkan lebih banyak IPTS mencatatkan kerugian untuk tahun kewangan 2020.

“Sekurang-kurangnya 100 institusi pendidikan tinggi swasta dijangka menghadapi masalah kewangan dan mungkin berisiko ditutup,” tambah Parmjit. – 20 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen