Penguna media sosial kutuk bekas menteri Indonesia kerana kritik Dr Mahathir


Looi Sue-Chern

Bekas menteri Indonesia Hamid Awaludin menyifatkan bekas perdana menteri Dr Mahathir sebagai kebudak-budakan dan mengalami sindrom "pasca kuasa".– Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Disember, 2017.

SEORANG menteri Indonesia dikecam pengguna media sosial kerana membuat kenyataan berhubung hal ehwal dalam negara Malaysia dengan ramai yang mengatakan beliau tidak patut mencampuri urusan dalaman negara ini. 

Bekas Menteri Kehakiman dan Hak Asasi Manusia Indonesia Hamid Awaludin mencetuskan kemarahan rakyat Malaysia kerana menuduh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menjadi kebudak-budakan dan mengalami sindrom “pasca-kuasa”.

Mereka merasakan Hamid tidak layak untuk mengkritik Dr Mahathir, bekas perdana menteri yang lama berkhidmat dari 1981 hingga 2003, kerana Hamid adalah warga asing dan tidak tahu menahu hak ehwal dalam negara Malaysia.

Sebagai reaksi ulasan Hamid di laman sosial Facebook, Faizal Faizaladam berkata sekiranya Dr Mahathir gila kuasa, beliau akan terus memegang jawatan sebagai perdana menteri dan tidak akan melepaskan jawatan itu. 

“Kalau Tun M (Dr Mahathir) gila kuasa..sampai sekarang terus jadi PM..tak tau apa-apa janganlah cakap ikut sedap mulut jer.. Dah dapat dedak free diam-diam je tak payah ikut campur urusan negara orang,” tulisnya. 

Joshua Lima berkata Dr Mahathir, yang melewati usia 90 tahun, memilih untuk menyertai pakatan pembangkang Pakatan Harapan, yang mana pelbagai parti berkongsi kuasa sama rata, tidak seperti Barisan Nasional yang dikawal oleh Umno.

“Kalau dia gila kuasa, dia tidak akan sertai PH,” katanya.

Fairuz Mohamed Kapi menulis: “Kamu (Hamid) tak perlu nak sibuk dan campur tangan urusan dalaman Malaysia. Lebih baik jaga rakyat kamu sendiri, majoriti mereka masih hidup dalam kemiskinan.”

Seorang lagi pengguna Facebook Samsul Bahri Awang berkata: “Tun Dr Mahathir benci ada sebabnya. Yang duk ampu kenapa?

Khng Hunkeat berkata ia tidak salah, kalau benar Dr Mahathir mahu mendapatkan kuasa, jika niatnya untuk selamatkan Malaysia. 

Chiong C Guo turut menyatakan pandangan yang sama, dan mengatakan politik memag untuk mendapatkan kuasa, hanya apa yang orang lakukan dengan kuasa yang menentukan antara mulia dan keji. 

“Jika Dr Mahathir cuba mendapatkan kuasa untuk menjadikan Malaysia lebih baik, jadi kuasa lebih kepada beliau.

“Tetapi jika kuasa yang diperoleh digunakan untuk mencuri dan merompak rakyat, penggunaan kuasa ini perlu dihapuskan,” tulisnya dalam Facebook.

Hamid pada satu sidang media di Kuala Lumpur semalam, menyelar Dr Mahathir kerana kenyataan “Bugis lanun” yang ditujukan kepada Perdana Menteri Najib Razak. 

Hamid berkata Dr Mahathir mengalami sindrom “pasca-kuasa” kerana tidak dapat menerima dirinya tidak lagi berkuasa. 

“Sekiranya kamu ingin memusuhi Najib, jangan bangkitkan isu etnik yang menyebabkan kami di Indonesia dilabel sebagai lanun….ia tidak mencerminkan Dr Mahathir sebagai negarawan yang bijak,” kata Hamid. 

Turut hadir pada sidang media itu ahli exco Pemuda Umno Mohamed Hazali Abu Hassan dan ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Mohd Razlan Muhammad Rafi.

Dr Mahathir yang kini pengerusi Bersatu dan pengerusi pakatan pembangkang dalam ucapannya pada 14 November lalu berkata Najib memiliki keturunan lanun Bugis yang hanyut ke Malaysia, dan menambah perdana menteri itu perlu balik ke negara asalnya. 

Kenyataan lanun Bugis itu mencetuskan kemarahan dan gesaan permohonan maaf daripada komuniti Bugis tempatan dan kumpulan pemuda Bugis di Jakarta pada Oktober lalu.

Bagaimanapun, hampir semua komen di media sosial menyifatkan Hamid sebagai penyibuk, yang sepatutnya balik ke Indonesia dan jaga urusan sendiri. 

Halida Abu Bakar menyatakan: “Menyibuk!” manakala Andrew Chan menulis komen: “Tidakkah ini campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara kita? Warga asing sepatutnya jaga urusan sendiri.”

Adam Adam menulis: “Bapak hamid, jangan memalukan orang indonesia dengan komen komen bapak.”

Seeni Mohd berkata ia adalah “masalah yang sangat, sangat serius” bila negara lain cuba campur tangan hal ehwal dalaman Malaysia. 

“Menteri luar dan kedutaan Malaysia perlu jawab,” katanya. 

Ada yang secara sinisnya mempersoal siapa Hamid untuk memberi komen tentang Malaysia dan Dr Mahathir.

“Siapa makhluk bernama Hamid Awaludin? Dalam Wikipedia pun hanya ada separuh muka,” komen Shamsinor Zaman. 

Ju Lee menulis: “Siapa kata?, Tiada siapa.”

Seorang lagi pengguna Facebook Yeam Kam Long mengulas: “Jaga urusan sendiri! Berapa banyak kamu terima daripada Pahlawan Bugis Malaysia untuk kutuk Tun Dr Mahathir kami?”

“Ada ke Hami bersuara ketika Umno bercakap berbaur perkauman? Hamid hanya ada memori terpilih. Hamid ini hipokrit sebenar,” tulis Raymond Noel. 

Lee Chin Chow mengingatkan Hamid tentang pembunuhan kaum yang berlaku di negara beliau sendiri. 

“Siapa yang akan kutuk pembunuhan Cina di Jakarta pada tahun 90an, rakyat Timur Timor dan penganut Kristian di Papua? Hipokrit.” – 1 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen