POLIS mengugurkan siasatan terhadap Ahli Parlimen Batu P Prabakaran yang didakwa melanggar perintah kawalan pergerakan dan mengklasifikasikan kes sebagai “tiada tindakan lanjut” (NFA).
“Saya telah dimaklumkan oleh pihak PDRM beberapa hari lalu bahawa tangkapan keatas saya tempoh hari berkaitan kes ingkar PKP dan mengganggu penjawat awam telah diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA).
“Saya berterima kasih kepada pihak PDRM kerana telah menjalankan siasatan yang adil ke atas diri saya,” kata Prabakaran di Facebooknya.
“Saya akan terus menumpukan seluruh tenaga dan usaha demi masyarakat. Saya akan terus berkhidmat dan berbakti demi masyarakat umum dan warga Batu,” katanya lagi.
April lepas, Prabakaran ditahan kerana dituduh menghalang tugas penjawat awam dan melanggar PKP apabila beliau melawat kawasan perwakilannya di Apartmen Seri Murni di Selayang, Kuala Lumpur yang diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketat (PKPD).
Beliau disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Peraturan 3 di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.
Beliau berdepan hukuman penjara dua tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit bersalah. – 18 Jun, 2020.
Komen