25 lagi kes Covid-19 dilaporkan di Seoul


Petugas kesihatan yang memakai alat pelindung diri (PPE) mengambil sampel daripada pelajar untuk ujian Covid-19 di pusat kesihatan Gangseo-gu di Seoul, Korea Selatan. – Gambar EPA, 18 Jun, 2020.

JUMLAH kes baharu Covid-19 di Seoul, Korea Selatan terus meningkat sebanyak 25 pada Khamis dan kebanyakannya dilaporkan di sebuah pusat jagaan warga emas, lapor agensi berita Yonhap. 

Sebelas kes membabitkan penghuni pusat jagaan harian warga emas di timur laut Dobong, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KCDC). 

Dua lagi kes berkaitan dengan penjual produk kesihatan dari rumah ke rumah yang sasaran pelanggannya terdiri warga emas. 

Sementara tiga lagi kes dikaitkan dengan kluster gereja sementara satu kes dikesan di sebuah kelab pingpong di barat Seoul.

Rata-rata kadar kes kematian terkini membabitkan warga emas, 9.91 peratus mereka yang berusia 70-an dan 25.69 peratus berumur 80-an atau lebih.

Korea Selatan secara keseluruhan menambah 59 kes, paling banyak dilaporkan dalam tempoh tiga minggu, menjadikan jumlah kes Covid-19 di negara ini sebanyak 12,257. – Bernama, 18 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen