Qatar Airways tangguh tempahan pesawat baharu


Qatar Airways menangguhkan tempahan pesawat baharu pada 2020 atau 2021 susulan permintaan yang berkurangan akibat Covid-19. – Gambar EPA, 18 Jun, 2020.

QATAR Airways tidak akan mengambil pesawat baharu pada 2020 atau 2021 dan menangguhkan tempahan dengan Boeing serta Airbus susulan permintaan yang berkurang akibat krisis Covid-19.

Syarikat penerbangan yang terbang ke lebih 170 destinasi dengan 234 pesawat pada Mac terjejas teruk apabila lapangan terbang ditutup selain larangan perjalanan yang dikuatkuasakan bagi mengekang penyebaran wabak Covid-19.

Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa memberi amaran pada April bahawa lalu lintas udara di Timur Tengah dan Afrika Utara akan merosot lebih separuh tahun ini.

“Sebilangan besar penerbangan akan ditangguhkan,” kata ketua eksekutif Qatar Airways Akbar al-Baker kepada Sky News Britain pada Rabu.

“Kami sudah memberitahu Boeing dan Airbus yang tidak ada pengambilan pesawat pada tahun ini atau tahun depan.

“Dan semua pesawat lain yang dipesan dan sepatutnya dihantar akan diberi kepada kami dalam dua atau tiga tahun ke depan,” katanya.

Sekiranya lalu lintas meningkat ke tahap melebihi jangkaan, pesawat yang ditunda dapat dibawa ke hadapan.

Syarikat penerbangan itu berkata mereka kini memberi perkhidmatan kira-kira ke 40 destinasi utama.

Sebelum ini pihak mereka memberi amaran kepada kakitangan bahawa mereka berdepan pengurangan gaji kerana berusaha mengatasi kemerosotan yang berlaku.

Qatar Airways sudah berdepan pergolakan kewangan dengan mencatatkan kerugian $639 juta untuk tahun ini sehingga Mac 2019. – AFP, 18 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen