Berhenti beri gambaran Dr Mahathir musuh lebih besar daripada Perikatan, kata Khalid Samad


PENGARAH Komunikasi Amanah Khalid Samad hari ini mengecam Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak kerana memberi gambaran partinya tidak setia kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim, lapor Malaysiakini.

Khalid juga mendesak Farhash yang juga setiausaha politik Anwar supaya “berhenti menjadi pengecut” dan tidak lagi mempersoalkan kesetiaan Amanah dan DAP kepada Anwar.

“Berhentilah berkelakuan seperti pengecut yang takut untuk menangani cabaran.

“Sekiranya kamu tidak dapat menangani Tun (Mahathir) yang kini sedang lemah, bagaimana kamu dapat menangani negara, yang jauh lebih mencabar daripada seorang lelaki berusia 95 tahun yang ditinggalkan oleh parti dan sekutunya?

“Berhenti memberi gambaran bahawa Tun adalah musuh yang lebih besar sedangkan PN dengan (Perdana Menteri) Muhyiddin Yassin dan (bekas timbalan presiden PKR) Azmin Ali baik-baik saja,” katanya dipetik Malaysiakini.

Khalid berkata demikian ketika diminta mengeluas kenyataan Farhash malam tadi yang mempersoalkan kesetiaan Amanah dan DAP kepada Anwar.

Kenyataan itu juga dikeluarkan selepas Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke yang meminta PKR memberikan jawatan jelas dalam isu bekerjasama dengan Dr Mahathir untuk mengambil alih Putrajaya.

Semalam, Loke berkata terdapat dua pilihan dalam calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri Pakatan Harapan Plus.

Katanya, pilihan pertama adalah Anwar sebagai perdana menteri dan Mukhriz Mahathir sebagai timbalannya.

Bagaimanapun, gabungan itu tidak diterima sekutu PH dan dicadangkan Dr Mahathir sebagai perdana menteri dan Anwar sebagai timbalan.

Tetapi, keputusan muktamad mengenainya masih belum diputuskan.

Khalid berkata mereka masih setia kepada Anwar dan akan terus menyokongnya.

“Seluruh negara kini sedang di tangan PN. Kita harus mengambil alih pentadbiran dengan pertolongan Tun. Bukankah kita ada 91 kerusi?

“Kami setia kepada DSAI (Anwar) dan itulah sebabnya kami mahu dia terus berjuang dan tidak mendengarkan kata-kata orang yang hanya menyampaikan rasa takut dan hilang kepercayaan.

“Sebagai seorang anak muda, dia (Farhash) harus menunjukkan keberanian dan keyakinan,” katanya. – 18 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen