Kenyataan mengenai PAS dan sekolah tahfiz diputar belit, kata Siti Kasim


Alfian Z.M. Tahir

Siti Zubaidah Kasim atau lebih dikenali sebagai Siti Kasim hadir memberi kenyataan di pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 18 Jun, 2020.

WALAUPUN mengakui menulis sebuah kenyataan kontroversi membantah PAS dan sekolah tahfiz yang menyebabkannya disiasat pihak berkuasa namun Siti Zubaidah Kasim menuduh bahawa kritikannya terhadap PAS dan sekolah tahfiz ‘diputar belit”.

Bercakap kepada wartawan selepas kenyatannya dirakam oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) awal hari ini, peguam-aktivis itu mengakui dia menolak idea daripada PAS yang mencadangkan larangan penggunaan alkohol berikutan beberapa insiden kemalangan akibat pemandu mabuk.

“Saya disoal siasat mengenai kenyataan yang dimuat naik di atas talian dan saya mengakui ia adalah catatan saya sendiri. Bagaimanapun apa yang saya katakan diputar belit.

“Saya sudah membuat laporan polis mengenai hal ini,” katanya ketika ditemui di pejabat SKMM di Cyberjaya. 

Siti Kasim telah memuat naik kenyataan di Facebook: “…kamu nak haramkan alkohol hanya kerana ia sesuai dengan kehendak kamu? Jadi haramkan sekolah-sekolah tahfiz juga kerana ia menyebabkan banyak kemudaratan kepada anak-anak kita yang tidak berdosa”.

Lebih daripada 100 laporan polis dibuat terhadapnya berhubung kenyataan yang dibuat naik.

“Saya beri kerjasama terhadap siasatan yang dibuat,” katanya enggan mengulas lebih lanjut.

Siti Kasim disiasat kerana hasutan, membuat kenyataan kondusif untuk orang ramai di bawah Kanun Keseksaan atas penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, tuduhan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – 18 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen