BN harap 'tiada pertandingan' pada PRK Chini 


Noel Achariam

Setiausaha Agung BN Annuar Musa berkata, berkempen dalam tempoh PKP akan membebankan rakyat.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 18 Jun, 2020.

BARISAN Nasional hari ini menggesa parti lain memberi laluan kepada Umno untuk memenangi pilihan raya kecil Chini Julai ini.

Setiausaha Agung BN Annuar Musa berkata, gabungan telah memilih calon Umno untuk bertanding di kerusi berkenaan.

“Kami harap tiada pertandingan (pada PRK Chini).

“Kami tidak mahu bebankan rakyat. Jika ada pertandingan, akan ada kempen pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan.

“Kawasan ini sentiasa diwakili Umno. Jadi lebih baik tiada pertandingan,” katanya selepas melawat gelandangan di Jalan Pahang, Kuala Lumpur hari ini.

Annuar berkata, calon itu akan diumumkan di Pekan pada pukul 2,30 petang hari ini.

Minggu lalu, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata, parti itu tidak akan meletakkan calon pada PRK Chini.

Menurutnya keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan faktor keselamatan dan kesihatan pengundi berikutan pandemik Covid-19.

Beliau juga sedia maklum koronavirus masih belum dikekang sepenuhnya.

“Pada masa yang sama, dalam konteks prosedur operasi standard (SOP) ‘kebiasaan baharu’ sedang dirangka menjelang pilihan raya, keselamatan dan kesihatan pengundi masih jadi kebimbangan,” katanya.

Beliau berkata, larangan perhimpunan lebih 20 orang akan memberi kesan kepada proses kempen sedangkan garis panduan kempen rumah ke rumah masih belum diputuskan.

Selepas mempertimbangkan faktor ini katanya, Majlis Presiden Pakatan Harapan memutuskan untuk tidak meletakkan calon pada pilihan raya berkenaan yang akan berlangsung 4 Julai ini. – 18 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen