Pilihan raya semula jalan selesai masalah politik sekarang, kata Najib


Diyana Ibrahim

Bekas perdana menteri Najib Razak berkata, majoriti tipis pada kerajaan akan menyebabkan kesukaran dalam urusan pentabdiran seperti pembentangan bajet, meluluskan rang undang-undang dan sebagainya.– Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Jun, 2020.

PILIHAN raya semula adalah satu-satunya jalan penyelesaian terbaik kepada masalah politik Malaysia yang tidak stabil, sejak selepas pertukaran pentadbiran di Putrajaya pada Februari lalu, kata Najib Razak.

Bekas perdana menteri berkata gabungan Perikatan Nasional (PN) yang menggantikan Pakatan Harapan (PH) tidak mempunyai majoriti yang stabil.

Ketidakstabilan itu bukan saja menyebabkan kerajaan boleh jatuh pada bila-bila masa, namun menyusahkan kerajaan untuk mentadbir, termasuk meluluskan belanjawan negara, katanya.

“Kalau betul nak elak dalam keadaan tak menentu dalam Malaysia sebagai negara demokrasi ini, tidak ada cara lain… kembalikan mandat kepada rakyat melalui pilihan raya.

“Kalau nak ikut majoriti kerajaan, PN juga sangat tipis, jadi akan ada kesukaran terutama bila nak bentang bajet,” katanya dalam satu temubual yang disiarkan melalui akaun Facebook Umno Online malam tadi.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kini mengetuai kerajaan PN dengan kelebihan tiga kerusi daripada majoriti yang diperlukan untuk membentuk kerajaan. PN mempunyai 115 kerusi daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat. PH mempunyai 107 kerusi.

Jelas Najib, majoriti tipis pada kerajaan akan menyebabkan proses meluluskan rang undang-undang di Dewan Rakyat jadi lebih panjang, dan akan mengganggu tugas anggota kabinet dan ahli Parlimen.

“Kalau setiap kali bentang maksudnya kementerian kena undi dua kali.

“Dalam satu bajet saja 60 kali kena lalui proses undi, dan susah tentu semua ahli Parlimen tidak boleh keluar… menteri pun tidak boleh keluar, tidak boleh pergi ke luar negara.

“Kesukaran itu boleh berlaku dan para menteri, yang banyak persidangan kena hadiri… tapi tidak boleh pergi,” katanya.

Najib ditemubual dalam program Apa Khabar Chini, bersempena pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Chini, yang penamaan calonnya akan berlangsung pada Sabtu ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan keadaan politik semasa tanah air.

Ditanya mengenai kerjasama Umno dan PN, Najib berkata yang ada sekarang hanyalah kerjasama ahli Parlimen dan bukannya parti kerana Umno fokus pada kerjasamanya dengan PAS dalam Muafakat Nasional (MN).

“Apa pun dalam pilihan raya akan datang rakyat di bawah cukup yakin dengan Muafakat Nasional dan mereka nampak ini platform paling tepat.

“Tapi ada pandangan minta Muafakat Nasional ambil kira kerjasama dengan PN dan ini masih belum diputuskan muktamad, sebab yang kita janji sekarang kerjasama antara ahli Parlimen bukan parti,” katanya.

Muhyiddin jadi PM sebab persefahaman politik Perikatan

Sementara itu, Najib berkata, Muhyiddin jadi perdana menteri kerana persefahaman politik antara parti-parti dalam PN selepas mereka menggantikan PH.

Kalau ikut keadaan, katanya, pemimpin Umno sepatutnya jadi perdana menteri kerana parti itu mempunyai kerusi terbanyak dalam gabungan.

Namun, keadaan luar biasa tidak memungkin itu berlaku, pada masa itu.

“Aspek asas kita (Malaysia) adalah sistem parti bukan sistem presiden. Kalau ikut sistem ini (sistem presiden) individu popular yang menang akan pilih siapa dia nak dalam kerajaannya, macam Indonesia.

“Malaysia (mengamalkan) sistem parti. Jadi macam mana pun, parti kita kenalah popular. Akhirnya siapa dapat kerusi lebih banyak ikut posisinya, dialah yang dipilih sebagai perdana menteri.

“Tapi sekarang ini keadaan luar biasa… walaupun Umno kerusi banyak tapi tak pegang kedudukan perdana menteri.

“Ini adalah hasil persefahaman politik… walaupun Umno kerusi terbanyak tapi Bersatu jadi perdana menteri,” katanya.

Najib ditanya pandangannya tentang penerimaan rakyat yang tinggi ke atas Muhyiddin namun tidak kepada partinya Bersatu.

Muhyiddin jadi perdana menteri pada 1 Mac selepas menarik partinya Bersatu membawa parti keluar dari PH. Beliau seterusnya membentuk gabungan baharu bersama Umno dan PAS, serta komponen Barisan Nasional (BN), dan mendapat sokongan parti dari Sabah dan Sarawak.

Pada masa sama, bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali yang dipecat juga mengetuai blok 10 wakil rakyat, yang kemudiannya menyertai Bersatu.– 18 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen