Kedai buku beralih ke platform atas talian 


Aminah Farid

Kebanyakan kedai buku cuba bertahan dengan impak pandemik Covid-19 dan penguatkuasaan PKP dengan beralih ke paltform atas talian. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 22 Jun, 2020.

TERDAPAT segelintir kedai buku beralih ke platform atas talian untuk membuat jualan sebagai sebahagian daripada usaha untuk terus bertahan berikutan pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Ada yang masih belum membuka premis perniagaan mereka walaupun kerajaan telah melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dan ada yang menerima pelanggan menerusi temu janji. 

Salah sebuah kedai buku yang beralih kepada platform atas talian adalah Lit Book, yang terkesan apabila pengedar buku dan gudang ditutup ketika PKP dikuatkuasakan, menyebabkan bekalan buku mereka terputus.

“Sebagai sebuah kedai buku biasa, sudah pasti kami bergantung kepada kedatangan pelanggan untuk membeli buku kami. Apabila kami tidak dapat membuka kedai, ia menjejaskan sumber pendapatan utama kami,” kata pengasas bersama Lit Book, Elaine Lau. 

Lau dan suaminya memulakan perniagaan kedai bukui itu pada 2018, kini membuat keputusan untuk menubuhkan kedai atas talian selepas menyedari mereka tidak akan mampu bertahan dengan impak PKP.

“Kami tidak mempunyai perancangan yang kukuh untuk kedai atas talian tetapi kami perlu fikirkan semula apabila PKP dikuatkuasakan. Dalam seminggu selepas PKP dikuatkuasakan, kami mampu menubuhkan kedai atas talian di laman web kami.”

Pengusaha kedai buku berdepan masalah kekurangan pelanggan kerana kebanyakan mereka mendapat bahan bacaan digital daripada internet. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 22 Jun, 2020.

Kedai mereka yang terletak di Tropicana Avenue di Petaling Jaya hanya menerima pelanggan secara bersemuka melalui temu janji daripada Selasa hingga Ahad, termasuk pada cuti umum. 

Lau berkata, beliau bernasib baik apabila penyewa kedai mereka memberikan diskaun sewa sepanjang tempoh PKP. 

Bagaimanapun, pasangan berkenaan ada terfikir untuk menutup terus Lit Book. 

“Ianya sesuatu yang pernah kami bincangkan dan kami bersedia untuknya. Namun kami bersyukur kerana masih meneruskannya,” kata Lau. 

Sementara itu, sebuah lagi kedai buku bebas, Bookalicious, turut menghadapi cabaran baharu ini dengan menjual buku mereka atas talian. 

“Perintah kawalan pergerakan tidak terlalu menjejaskan perniagaan kami kerana kami melabur dalam platform e-dagang dan ia berhasil ketika PKP,” kata salah seorang pengarah Bookalicious, Leon Ngai. 

“Kami berterima kasih kepada pelanggan kerana menyokong kedai buku alternatif seperti kami untuk terus menghadapi waktu yang sukar.”

Menurutnya, PKP tidak banyak menjejaskan jualan Bookalicious, namun beliau masih bimbang dengan masa depan, sama ada kedai buku mampu bertahan dalam keadaan ekonomi semasa. 

“Ini tidak pernah berlaku dan situasi yang sangat tidak bagus. Banyak faktor yang perlu diambil kira dengan ekonomi yang suram, kadar tukaran wang tidak menentu selain persaingan,” kata Ngai. 

Kedai Bookalicius masih ditutup dan jualan diteruskan secara atas talian dan syarikat ini masih memantau situasi semasa, tambahnya. 

Namun tidak semua kedai buku beralih kepada platform atas talian. 

Kedai buku Reader's Paradise yang terletak di Ampang Point turut terjejas kerana pandemik Covid-19 dan penguatkuasaan PKP. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 22 Jun, 2020.

Kedai buku Readers Paradise di Ampang Point memutuskan untuk menutup operasi selepas bertahan untuk beberapa ketika.

Pemiliknya Harjeet Sidhu, 62, memberitahu The Malaysian Insight, pandemik Covid-19 dan PKP menjadi pemangkin di sebalik penutupan kedainya. 

“Saya pernah terfikir untuk menutup perniagaan tetapi bukan sehingga berlakunya pandemik dan PKP, saya benar-benar memutuskan untuk menutupnya,” kata Harjeet yang mengambil alih Reader’s Paradise enam bulan lalu bersama isterinya. 

Premis itu terletak di Ampang Point sejak 20 tahun lalu. 

“Ia merupakan idea isteri saya untuk mengambil alih dan menguruskan kedai itu, jadi kami mengubahnya menjadi kedai buku”

Harjeet berkata, kedai mereka tidak menerima banyak pelanggan sejak sekian lama, dan jumlahnya semakin berkurangan. 

“Saya tidak dapat teruskan kerana bayaran sewa dan jumlah pelanggan juga makin berkurangan. 

“Saya rasa ini kerana masyarakat semakin kurang minat untuk membaca dan juga kewujudan maklumat digital.”

“Menguruskan kedai buku bukan suatu yang mudah kerana ia memiliki cabaran tersendiri, antaranya ialah tidak banyak pelanggan dan pembaca. 

“Ia sangat menyedihkan. Ia menyedihkan bagi kami, kami semua kecewa terutama isteri saya. 

Reader’s Paradise sedang menghabiskan stok dengan menawarkan diskaun bagi semua buku mereka. Pembaca atau pembeli yang berminat boleh hubungi Harjeet di talian 0123938350. – 22 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen