Tukang urut buta hilang pendapatan akibat Covid-19


PKP sejak 18 Mac untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 menjejaskan mata pencarian rakyat negara ini, termasuk tukang urut buta. – Gambar AFP, 18 Jun, 2020.

PANDEMIK Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan untuk memutuskan rantaian jangkitan virus itu menjejaskan mata pencarian rakyat negara ini, termasuk tukang urut buta.

Tiga bulan selepas PKP yang bermula 18 Mac lalu, kerajaan membenarkan hampir semua sektor ekonomi beroperasi semula kecuali pusat urut orang buta, menyebabkan mereka hilang punca pendapatan.

Pengurus Healthy Blind Massage, Ang Kong Heng, 53, memberitahu The Malaysian Insight terdapat tujuh tukang urut yang diupah pusat urut itu, dan pengusaha hanya memberi elaun antara RM200 hingga RM300 seorang.

“Bagi yang bujang, mereka dah balik ke kampung, atau duduk di asrama saja. Saya agak bernasib baik kerana isteri masih bekerja dan ada pendapatan untuk besarkan anak-anak kami.

“Kami perlu bayar yuran sekolah untuk kelas dalam talian,” katanya.

Ang, yang sudah lapan tahun terlibat dalam industri ini berkata sebelum PKP beliau mampu peroleh pendapatan sekurang-kurangnya RM1,800 sebulan, malah boleh mencecah RM3,000.

“Sekarang pendapatan memang terjejas. Kami terpaksa bergantung kepada sumbangan makanan daripada badan amal seperti beras, tepung dan minyak masak. Itu pun, kena catu,” katanya.

Menurut Ang, kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan menyebabkan orang buta memilih untuk menjadi tukang urut.

“Kami tak boleh tukar profesion. Kami kurang upaya, buta. Jadi pilihan kami hanya bekerja di pusat penjaja, jadi penghibur jalanan (busking) atau menjual tisu di stesen keretapi.

“Tambahan pula dengan wabak ini, semua orang menjaga jarak. Rasa-rasanya berapa ramai pelanggan kami boleh dapat?” kata Ang.

Selain tukang urut, kebanyakan mereka yang cacat penglihatan bekerja di pusat penjaja, menjadi penghibur jalanan (busking) atau menjual tisu di stesen keretapi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Jun, 2020.

Presiden Persatuan Juruurut Buta Bertauliah, Lee Sheng Chow juga senada dengan Ang dalam hal ini.

“Ke mana kami hendak pergi? Siapa yang mahukan kami?”

Pengasas pusat urut orang buta pertama di Malaysia itu berkata tidak banyak pilihan pekerjaan untuk orang cacat penglihatan, sama ada menjual barangan kraf atau menjadi guru jika berpendidikan tinggi.

“Pendapatan dari menjual hasil seni dan kraf tak banyak, jadi guru pun tak besar mana. Oleh itu, ramai orang buta jadi tukang urut,” katanya.

Kata Lee, dengan menjadi tukang urut, mereka yang cacat penglihatan dapat menjalani hidup yang baik, berkahwin dan ada yang mampu membeli rumah.

“Tiada siapa sangka wabak ini menyebabkan kita teruk terjejas. Bagi mereka yang ada simpanan masih boleh bertahan, tetapi berapa lama?”

Menurut Lee, sebagai pengusaha pusat urut beliau juga perlu membayar sewa kedai dan gaji pekerja walaupun tiada pendapatan sepanjang PKP.

“Kami ada beberapa pekerja di pusat ini, dan pendapatan tak ada. Kami hanya boleh bero sedikit elaun untuk mereka terus bertahan.

“Ada pekerja kami yang dapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat, tetapi mereka ini ada yang sudah berkahwin. Macam mana nak hidup dengan hanya beberapa ratus ringgit?” katanya.

Urut Tradisional PB milik Lee di Brickfields, Kuala Lumpur telah 37 tahun beroperasi. Sebelum ini kawasan itu pernah ada 10 pusat urut, tetapi kini hanya tinggal dua, tiga premis sahaja, katanya. Banyak yang terpaksa tutup disebabkan wabak Covid-19.

“Sebelum wabak, persaingan banyak, perniagaan pun perlahan. Sekarang hanya tinggal dua pesaing utama.

“Dengan reputasi yang baik, saya percaya kami boleh terus ‘bernyawa’,” kata Lee.

Menurut Lee terdapat sekitar 2,000 ke 5,000 pusat urut orang buta di seluruh Malaysia, dan beliau menggesa kerajaan segera membenarkan mereka beroperasi semula.

“Kami bersama-sama kumpulan lain dalam industri ini telah kemukakan cadangan kepada kerajaan mengenai prosedur operasi standard (SOP), tetapi tak tahulah sama ada diluluskan atau tidak.” – 18 Jun, 2020.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen