DR Mahathir Mohamad meminta orang Melayu berfikir adakah Najib Razak saja-saja menolong Muhyiddin Yassin jadi perdana menteri dengan beliau sendiri yang sedang dibicarakan atas tuduhan jenayah, nanti akan masuk penjara.
Katanya, dengan membantu Muhyiddin jadi perdana menteri, Najib sudah berjaya membebaskan anak tirinya Riza Aziz daripada tuduhan mengubah wang haram.
“Jika rakyat tidak bantah, dan dengan izin Muhyiddin, Najib juga boleh terlepas dari penjara.
“Bolehkah kita fikir Najib berusaha bantu Muhyiddin menjadi perdana menteri dan dia sendiri masuk penjara.
“Bolehkah kita terima Najib begitu murah hati. Fikirlah,” katanya dalam tulisan terbaru di blognya, hari ini.
Pada 14 Mei, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melepaskan Riza secara bersyarat, tetapi tidak membebaskannya daripada lima tuduhan pengubahan wang haram. Syaratnya ialah beliau memulangkan sebahagian wang yang diseleweng.
Najib sedang menunggu keputusan perbicaraan ke atas tujuh tuduhan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, yang terkait dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Muhyiddin jadi perdana menteri pada 1 Mac selepas menarik partinya Bersatu dari Pakatan Harapan dan seterusnya membentuk gabungan baharu bersama Umno dan PAS, serta komponen Barisan Nasional (BN), dan mendapat sokongan parti dari Sabah dan Sarawak.
“Melayu kena tipu”
Sementara itu, Dr Mahathir mendakwa Najib memperalatkan Muhyiddin dengan mengambil kesempatan atas ketakutan orang Melayu terhadap DAP.
“Apakah benar orang Melayu mudah dihancur sehingga sebuah parti politik pun boleh hancur orang Melayu.
“Apa buktinya dalam sejarah orang Melayu dihancur,” tanyanya.
Beliau membentangkan contoh-contoh dalam sejarah bagaimana negara ini bertahan menghadapi pelbagai ancaman dari luar, sejak sebelum Merdeka hingga krisis ekonomi pada hujung 1990-an.
“Inilah Melayu apabila mendiri pemerintahan 96% Melayu selepas merdeka. Kita tidak takut, kita berani dan kita berjaya.
“Tetapi ada Melayu yang takut kepada DAP. Konon DAP boleh hancur orang Melayu.
“Orang yang bacul macam ini tidak layak panggil diri mereka Melayu,” katanya.
Menurut Dr Mahathir, DAP hanya parti politik dan bukannya institusi dunia seperti IMF dan Bank Dunia.
“Apa yang ada pada DAP yang perlu kita takut dihancur oleh mereka,” tanyanya.
Ketakutan orang Melayu kononnya kerajaan sebelum ini dikuasai oleh DAP “tak masuk akal”, kata Dr Mahathir.
“Kamu ditipu oleh Najib yang takut kena penjara. Setelah ditolak rakyat, Najib mempermain ketakutan orang Melayu untuk kembali diterima ke dalam Kerajaan pintu belakang,” katanya.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali dijadual mengumumkan keputusan perbicaraan pada 28 Julai, selepas mendengar kes dalam rentang waktu 14 bulan.
Jika sabit kesalahan, Najib berdepan penjara sehingga 20 tahun bagi setiap pertuduhan dan dengan.
Najib, 66, juga berdepan 35 pertuduhan jenayah lain yang terkait dengan skandal 1MDB. – 17 Jun, 2020.
Komen