Kluster baharu babit kematian di Sabah dikesan, kata KP Kesihatan


Ragananthini Vethasalam

KKM mengesan kluster baharu Covid-19 ada kaitan dengan kematian seorang warga emas di Sabah pada 12 Jun, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Jun, 2020.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengesan kluster baharu Covid-19 ada kaitan dengan kematian seorang warga emas di Sabah pada Jumaat lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata dua kakitangan wad di Hospital Queen Elizabeth, Sabah disahkan positif Covid-19, dikesan daripada pengesanan kontak rapat mangsa.

“Setakat jam 12 tengah hari tadi, seramai 63 individu termasuk 21 petugas kesihatan, dua pesakit, 40 ahli keluarga dan rakan dikenal pasti serta disaring,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Kes indeks kluster adalah wanita berusia 96 tahun yang meninggal dunia di rumah akibat sakit jantung. 

Mangsa didapati positif selepas dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth untuk saringan Covid-19.

Mangsa sebelum ini menerima rawatan penyakit jantung Hospital Queen Elizabeth 2.

Tambah Dr Noor Hisham, proses nyah kuman dan nyah cemar telahpun dijalankan di semua tempat yang dikenal pasti terdedah termasuk di wad dan rumah mangsa.

“Perkhidmatan Hospital Queen Elizabeth 2 tidak terjejas dan berterusan seperti biasa. Punca jangkitan kluster ini masih di dalam siasatan,” katanya.

Selain itu, ketua pengarah kesihatan itu berkata seramai 64 penghuni pusat jagaan warga emas di Kuala Selangor sudah disaring selepas satu kes dikesan.

Saringan membabitkan 12 kakitangan pusat jagaan, 24 penghuni, 10 ahli keluarga, 13 petugas kesihatan dan lima orang awam.

Hasil ujian saringan berkenaan, tujuh didapati positif, manakala 43 yang lain negatif. Empat belas lagi masih menunggu keputusan.

Langkah-langkah pencegahan termasuk nyahkuman dan nyahcemar di pusat jagaan berkenaan juga telah dijalankan.

“Pusat jagaan tersebut beroperasi seperti biasa dan penghuni menjalani kuarantin di sana,” kata Dr Noor Hisham.

Tambah beliau, KKM akan terus memantau dan mereka yang mengalami gejala akan dimasukkan ke hospital untuk menerima rawatan. – 17 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen