PUTRAJAYA perlu menghentikan intimidasi politik terhadap ahli Parlimen kerana membangkitkan isu rakyat, kata Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Bekas timbalan perdana menteri itu juga menggesa pihak berkuasa berlaku adil terhadap Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh, yang dipanggil ke Bukit Aman untuk memberi keterangan berhubung tulisannya di Twitter mengenai Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur.
Pelan tersebut diumumkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Januari.
Yeoh merupakan timbalan Dr Wan Azizah di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat semasa di bawah kerajaan PH.
Tulisan Yeoh di Twitter pada 9 Mac itu mempersoalkan status pelan tersebut selepas tugasnya diambil alih Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Mohd Yusoff.
Dr Wan Azizah berkata pelan tersebut dilancarkan susulan kesukaran mencari penyelesaian bagi isu perkahwinan bawah umur kerana urusan perkahwinan orang Islam berada dalam bidang kuasa Negeri.
“Tujuh negeri iaitu Sarawak, Pahang, Terengganu, Perlis, Negeri Sembilan Kedah dan termasuk Kelantan telah menyatakan tidak bersetuju dengan draf membabitkan pindaan Akta Undang-Indang Keluarga Islam 1984 (Akta 303) dengan menetapkan umur minimum perkahwinan wanita kepada 18 tahun.
“Justeru adakah salah bagi YB Hannah Yeoh, mantan Timbalan menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang turut sama merangka Pelan Strategik tersebut menanyakan mengenai status dan kemajuan pelan tersebut kepada YB Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff selaku Timbalan Menteri KPWKM merangkap Ahli Parlimen Rantau Panjang, memandangkan Kelantan juga salah sebuah negeri yang telah menolak usaha menaikkan had umur perkahwinan ini?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Yeoh tidak menyatakan bila Bukit Aman mahu beliau hadir untuk memberi keterangan. – 17 Jun, 2020.
Komen