PUTRAJAYA tidak menetapkan had jumlah pelanggan yang dibenarkan duduk di meja makan restoran di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kata Ismail Sabri Yaakob.
Pelanggan kini boleh duduk makan di restoran mengikut saiz meja selagi mematuhi penjarakan sosial, tambah menteri kanan itu.
“Selagi ada penjarakan sosial, boleh. Kalau meja panjang boleh muat 10 orang, boleh duduk 10 (pelanggan). Tetapi mesti ada penjarakan sosial.
“Kalau meja makan besar boleh muat 10 orang, takkan duduk dua orang, sebagai contoh. Kalau boleh muat untuk lapan, maka lapan lah.
“Jadi, kita tak ada halangan dari segi itu, kita bolehkan,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Ismail Sabri menjawab pertanyaan pemberita mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum ini yang menetapkan maksimum empat pelanggan boleh duduk semeja.
Semasa PKPP juga semua restoran dan premis menjual makanan dibenarkan buka sehingga 12 malam. – 17 Jun, 2020.
Komen