ANGKA korban Covid-19 di India kini mencecah 11,903 kes selepas lebih 2,000 lagi kematian dilaporkan hari ini.
Menurut angka rasmi, negara keempat di dunia paling tinggi mencatat kes jangkitan virus itu sehingga kini merekod 354,065 kes.
Pakar bagaimanapun berkata jumlah jangkitan sebenarnya jauh lebih tinggi, dan menggesa kerajaan menjalankan ujian saringan berskala besar.
Bandar-bandar besar di India teruk terjejas akibat pandemik Covid-19 sehingga Chennai misalnya menguatkuasakan semula perintah berkurung mulai Jumaat lalu.
Manakala perintah berkurung di kebanyakan tempat lain mula dilonggarkan.
Kementerian Luar Jerman menggesa rakyatnya di India segera pulang ke tanah air atau ke negara lain yang mempunyai sistem penjagaan kesihatan lebih baik.
Kementerian itu dalam satu kenyataan berkata walaupun perintah berkurung di kebanyakan tempat di India mula dilonggarkan, tetapi kes jangkitan dan kematian disebabkan Covid-19 semakin bertambah, bermakna risiko untuk dijangkiti masih tinggi. – AFP, 17 Jun, 2020.
Komen