Anjur seminar, mesyuarat, bengkel dibenarkan ikut SOP


Ravin Palanisamy

Seminar, mesyuarat, bengkel, kursus, latihan dan persidangan dibenarkan untuk sektor awam dan swasta dengan pematuhan SOP ketat, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Jun, 2020.

PUTRAJAYA akan membenarkan seminar, mesyuarat, bengkel, kursus, latihan dan persidangan untuk sektor awam dan swasta diadakan dengan jumlah maksimum 250 orang, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Bagaimanapun, katanya kelulusan akan hanya diberikan kepada penganjuran acara itu di kawasan zon hijau saja.

“Dalam mesyuarat khas menteri, kami bersetuju membenarkan acara itu diadakan dengan syarat jumlah peserta maksimum 250 orang.

“Ini hanya dibenarkan di zon hijau saja,” katanya pada sidang akhbar harian berkenaan Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Walaupun aktiviti berkenaan dibenarkan, Ismail berkata penganjur perlu mematuhi pelbagai prosedur operasi standard (SOP).

Katanya, 250 ialah jumlah maksimum dibenarkan untuk peserta tetapi penganjur perlu menyesuaikan dengan saiz lokasi.

“Kapasiti ruang penganjuran aktiviti itu juga perlu dipertimbangkan. Perlu ada penjarakan sosial.

“Jika dewan kecil dan tidak boleh tampung hingga 250 peserta, maka penganjuran tidak akan diluluskan kerana ia sepatutnya berdasarkan kepada saiz dewan,” katanya.

Menteri pertahanan itu berkata peserta juga perlu memuat turun aplikasi MySejahtera di telefon bimbit masing-masing ketika menghadiri aktiviti seumpama itu untuk membolehkan kod QR diimbas ketika pendaftaran.

Beliau berkata hidangan secara bufet juga tidak dibenarkan, sebaliknya mencadangkan makanan siap dibungkus untuk diedarkan. – 17 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen