Tidak adil untuk kayakan ahli Parlimen Perikatan dengan jawatan tinggi, kata Anwar 


Chan Kok Leong

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata, langkah itu tidak wajar kerana negara sedang berdepan dengan masalah pengangguran yang berpunca daripada pandemik Covid-19.– Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Jun, 2020.

TIDAK adil untuk kerajaan Perikatan Nasional membuat lantikan jawatan besar kepada ahli Parlimen ketika negara berdepan dengan masalah pengangguran, kata Anwar Ibrahim.

“Ahli Parlimen sudah mendapat sekitar RM20,000 sebulan namun ada di antara mereka kini diberi lantikan dalam GLC dan agensi yang memberi mereka tambahan RM30,000 sebulan.

“Perikatan tidak sepatutnya memperkayakan diri sendiri sedangkan masalah pengangguran dalam negara meningkat berikutan pandemik Covid-19,” kata Anwar dalam siaran langsung di Facebook hari ini.

Presiden PKR itu mengulas berhubung pelantikan terbaharu Ahli Parlimen Parit Mohd Nizar Zakaria sebagai pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Nizar menggantikan Dr Narimah Awin yang dilantik pada 2019.

LPPKN merupakan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang menguruskan kependudukan, pembangunan keluarga dan reproduksi manusia di negara ini.

“Keputusan lain yang boleh dipersoalkan termasuklah penggantian CEO Petronas Wan Zulkiflee Wan Ariffin dan CEO PNB Jalil Rasheed,” kata Anwar yang juga ketua pembangkang.

“Amat mengecewakan apabila melihat Wan Zulkiflee dan Jalil, yang bersih dan mempinyai kelayakan profesional, digantikan atau dipaksa berhenti,” kata ahli Parlimen Port Dickson itu.

Menurutnya, semua ini tidak perlu dan akan membawa kepada pelabur hilang keyakinan terhadap institusi di Malaysia.

“Dan itu tidak dapag berlaku pada waktu yang lebih buruk ketika Jabatan Perangkaan melaporkan pengangguran sekarang mencapai 5% atau lebih dari 750,000 rakyat Malaysia yang menganggur,” kata Anwar. – 17 Jun, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen