PALESTIN bakal berdepan gelombang kedua wabak koronavirus sekiranya jumlah jangkitan terus meningkat, Menteri Kesihatan Mai Alkaila memberi amaran semalam seperti dilaporkan oleh agensi berita Wafa.
Beliau berkata demikian semasa mesyuarat bagi kakitangan kementerian, bahawa pasukannya dan Jawatankuasa Epidemiologi sedang meneliti keadaan semasa di Palestin dan kemungkinan senario berikutan peningkatan jumlah kes koronavirus yang direkodkan.
Alkaila menegaskan pematuhan terhadap protokol kesihatan dan langkah keselamatan serta pencegahan akan menyelamatkan Palestin daripada gelombang kedua.
Beliau turut menekankan kesedaran masyarakat agar memberi perhatian serius dan mematuhi arahan Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa yang berwibawa bagi melindungi diri dan keluarga daripada wabak.
Arahan tersebut termasuklah memakai topeng, penjarakan sosial dan menghindari perjumpaan sebanyak mungkin, dengan tindakan wajib kepada semua kedai, kelab, kedai gunting rambut dan salon kecantikan, semua syarikat, kementerian, dan badan awam serta swasta untuk mematuhi langkah pencegahan atau dikenakan hukuman jika ingkar.
Ketika sembilan wilayah baru-baru ini mengisytiharkan bebas daripada virus, jumlah itu kini berkurangan kepada empat, katanya.
Sehingga kini, Palestin, yang merangkumi Baitulmaqdis Timur, Tebing Barat dan Semenanjung Gaza, mencatatkan 690 kes koronavirus, termasuk 115 yang masih aktif selepas 570 kes pulih dengan lima kematian.
Jika dipecahkan berdasarkan wilayah, Tebing Barat menyaksikan 434 kes Covid-19 dan dua kematian; Gaza 72 kes dan satu kematian; dan Baitulmaqdis Timur 184 kes dengan dua kematian.
Jumlah pesakit yang pulih di Tebing Barat adalah 370, Gaza 45, dan 155 di Baitulmaqdis Timur. – 17 Jun, 2020.
Komen