.jpg)
SEBAGAI seorang wanita, saya bersimpati terhadap Hannah Yeoh yang dipanggil untuk memberikan keterangan bagi siasatan mengenai kenyataan beliau di Twitter. Adakah kerajaan kini adalah kerajaan yang tidak boleh dibidas dan ditegur?
Adakah bertanya soalan untuk memastikan hak kanak-kanak terlindung juga menjadi satu kesalahan?
Kita semua perlu teliti semula mengapa Yeoh mempersoalkan perlantikan Siti Zailah Mohd Yusoff sebagai timbalan menteri wanita, keluarga dan masyarakat.
Ini sebenarnya akibat kenyataan yang dikeluarkan Siti Zailah sendiri dalam perbahasan Parlimen pada Julai 2017 yang mana beliau mempertahankan perkahwinan bawah umur.
Jika kita imbas kembali, pada Januari lalu kerajaan Pakatan Harapan (PH) bawah kepimpinan Dr Wan Azizah binti Wan Ismail melancarkan Pelan Strategi Kebangsaan bagi menangani punca perkahwinan bawah umur. Ia bagi menangani punca perkahwinan bawah umur di peringkat akar umbi.
Pelan yang dirancang itu merangkumi tujuh objektif, 17 strategi serta 58 program dan tindakan bagi menangani punca-punca itu dalam tempoh lima tahun akan datang iaitu sehingga 2025.
Kita harus peka perkahwinan bawah umur ini bukan isu agama ataupun isu bangsa.
Jika kita lihat statistik perkahwinan bawah umur pada 2017, seramai 1,845 orang kanak-kanak bawah umur telah berkahwin dengan pasangan dewasa. Daripada jumlah ini, 968 orang adalah kanak-kanak bukan Islam manakala 877 orang kanak-kanak beragama Islam.
Statistik ini menunjukkan masalah perkahwinan bawah umur ini adalah isu nasional, dan bukan spesifik kepada masyarakat Islam saja.
Pelan strategik yang dirangka oleh PH sebelum ini berjaya mengenal pasti beberapa punca yang menyebabkan perkahwinan bawah umur seperti kemiskinan, kurang akses pendidikan, stigma masyarakat yang mana merasakan perkahwinan bawah umur adalah satu cara menyelesaikan masalah, serta undang-undang yang longgar memudahkan perkara ini berlaku.
Apakah salah jika seseorang wanita dan juga ibu seperti Yeoh mempersoalkan perkara ini kerana mempertahankan hak kanak-kanak yang seharusnya mendapat pendidikan dan memanfaatkan zaman kanak-kanak dengan baik?
Ingat, kanak-kanak adalah pelajar bukan pengantin. – 17 Jun, 2020.
* Marina Ibrahim ialah setiausaha publisiti Wanita DAP Johor.
Komen