PASAR Tanah Abang di Jakarta, yang juga pusat berbelanja tekstil terbesar di Asia Tenggara, kembali dibuka minggu ini selepas tutup tiga bulan bagi membendung penularan Covid-19, lapor media.
Ia dibuka kelmarin dengan tatacara ketat untuk mencegah dan mengawal penularan, antaranya waktu perniagaan lebih pendek serta giliran berniaga mengikut hari genap ganjil.
Peniaga mengeluh hasil jualan mereka berkurangan namun akur dengan syarat yang ditetapkan, lapor CNN Indonesia.
“Kalau secara logik dulu (sebelum pandemik) misalnya seminggu untung kasar boleh sampai Rp10 juta (lebih kurang RM3,000), kalau sekarang sudah tidak mungkin kerana tidak buka setiap hari,” kata seorang peniaga, Dahler, seperti dipetik portal berita itu.
Katanya, peniaga juga berdepan kerugian sekiranya pelanggan tetap mereka berpindah ke kedai lain kerana peraturan berniaga hanya pada hari tertentu.
“Misalnya mereka datang hari ini tetapi kedai tutup… kan dia akhirnya beli di kedai lain,” katanya.
Tanah Pasar Abang, yang ditutup sejak 27 Mac lalu, dibuka semula dengan aturan waktu operasi antara 7 pagi hingga 2 petang, sementara lot kedai genap dibenarkan beroperasi pada hari genap, dan sebaliknya.
Pengarah besar Pasar Jaya, syarikat pengendali Pasar Tanah Abang, Arief Nasrudin berkata sejak Isnin lalu semua blok perniagaan dibuka kepada umum dengan syarat operasi ketat.
Antara syarat operasi yang ditetapkan ialah menghadkan jumlah pelanggan dan peniaga pada setiap hari, selain mewajibkan semua orang memakai pelitup muka dan menjaga jarak antara satu sama lain.
“Kita sudah edarkan 80,000 pelitup muka kepada peniaga,” katanya, dipetik oleh Kompas.
Sementara itu, peniaga dipetik oleh media berharap waktu operasi dapat dikembalikan kepada asal, sehingga 5 petang, secepat mungkin.
“Kedai saya (pada Isnin) tidak boleh dibuka kerana nombornya genap. Kalau (Selasa) sudah boleh boleh berniaga.
“Kalau boleh waktu operasi balik lagi seperti biasa. Peraturan ganjil genap saja sudah menyebabkan pendapatan berkurang,” kata Ruslan seperti dipetik sebuah portal berita. – 17 Jun, 2020.
Komen