'Sua sue' internet cara Malaysia


Zainal Rashid Ahmad

DALAM hantarannya kepada rakan-rakan WhatsApp, tokoh wartawan negara, Johan Jaaffar menulis: “Secara purata warga emas menghabiskan masa 5 jam 40 minit (340 minit) di media sosial setiap hari.

Angka itu 20 minit melebihi kadar penggunaan kumpulan umur antara 25 hingga 35 tahun.”

Menurut Johan, angka ini bermakna dalam seminggu netizen senior menggunakan platform media sosial selama 2,380 minit atau 9,250 minit sebulan atau 114,240 minit setahun.

“Dalam kiraan jam pula, 1,904 jam bersamaan 79 hari setahun!” jelasnya.

Merujuk pada data baru Johan yang juga kolumnis The Bowebird akhbar The Star, saya merujuk data 2020 yang dikeluarkan We Are Social mengenai tabiat penggunaan internet di negara ini.

Menurut agensi kajian We Are Social pada 2020, terdapat 26.6 juta pengguna internet di negara ini. Angka itu meningkat 3.6% atau 919 ribu pengguna baru berbanding 2019.

Bagi pengguna berusia 15 hingga 49 tahun, durasi berada dalam talian ialah empat jam 30 minit. Kurang satu jam sepuluh minit berbanding purata penggunaan warga senior.

Itu senario betapa melayari internet atau berada di platform media sosial menjadi pilihan utama gaya hidup digital di negara ini.

Menurut data tns.global, 72% rakyat Malaysia aktif menggunakan WhatsApp. Manakala 88% aktif di Facebook. Selain itu, 76% agresif melayari YouTube.

Selain itu, data statista.com mencatatkan 18.4 juta rakyat Malaysia memiliki telefon pintar sekaligus meletakkan negara ini di ranking ke-38 dunia.

Sekadar rujukan China berada di tangga pertama (1.3 bilion pengguna), India (1.17 bilion), Brazil (284 juta) dan Rusia (256 juta).

Pemilikan tinggi dan meluas telefon pintar, antara sebab rakyat Malaysia konsisten dan prolifik menghabiskan masa dalam internet.

Selain itu, apa yang menarik dalam perkongsian Johan ialah, purata penggunaan internet oleh warga emas melebihi satu jam 10 minit berbanding kadar purata menyeluruh rakyat negara ini.

Relatif lain yang lebih unik, pada purata selama 4 jam 30 minit penggunaan internet rakyat Malaysia menghabiskan masa selama tiga jam sehari di laman sembang sosial.

Internet tidak menyumbang budaya membaca

Pada masa yang sama, kajian juga mendapati, penggunaan ruang waktu internet di negara ini tidak menggambarkan sifat minat membaca rakyat Malaysia.

Laporan Digital Hootsuit (2018) memberi gambaran jelas: budaya membaca secara fizikal mahu pun digital telah dan sedang mengalami defisit minat yang teruk di negara ini.

Ini bererti walaupun kadar penggunaan internet meningkat, ia langsung tidak membantu peningkatan budaya membaca rakyat Malaysia.

Manakala, kajian The World’s Most Literate Nation (Negara Paling Celik Huruf Sejagat) Malaysia berada pada kedudukan ke-53 global. Sekadar bandingan, Singapura berada di kedudukan ke-36.

Persoalan paling menarik sekarang ialah: apakah yang dicari penggemar internet di negara ini?

Di laman sembang sosial, apakah bentuk komunikasi yang berjaya menelan begitu banyak masa?

Serta, apa pula yang dicari pemburu kandungan dalam talian di negara ini?

Walaupun tiga jam menghabiskan waktu di laman sembang sosial - tiada petunjuk atau data kajian yang menyediakan perincian – apa yang dilakukan rakyat Malaysia pada baki sejam 30 minit ketika melayari internet setiap hari?

Apa pun, bukanlah rahsia - tabiat penggunaan laman media sosial seperti Facebook dan Instagram sangat mendominasi gaya hidup rakyat negara ini.

Manakala, aplikasi WhatsApp sudah berkembang melampaui fungsi sembang sosial. Perisian Android itu kini sudah menjadi komunikasi “rasmi” dalam pekerjaan sektor awam, pengurusan korporat dan komitmen profesional.

Internet dan pencerahan minda Malaysia

Selain 76% rakyat negara ini aktif sebagai pelayar kandungan YouTube, tiada data kajian mengenai jenis kandungan yang dilayari.

Kita juga tiada data: berapa ramai rakyat negara ini menghabiskan waktu di dalam talian untuk memburu kandungan hiburan berbayar?

Berdasarkan trend semasa, pengaruh kandungan TV juga semakin melemah tahun ke tahun (kecuali meningkat ketika Perintah Kawalan Pergerakan).

Relatifnya, kalau merujuk pada tabiat membaca, data membuktikan kadar literasi ilmu tidak meningkat di dalam talian berbanding trend penggunaan internet yang tinggi.

Kandungan digital kini “membunuh” media konvensional. Namun, ia tidak pula mencipta bisnes baharu di platform kandungan telefon pintar.

“TV hampir mati di kalangan generasi muda urban yang cenderung kepada kandungan berbayar sama ada Netflix mahupun Viu,” kata rakan yang aktif menggerakkan kandungan portal.

Namun, minat kandungan berbayar tidak membantu syarikat pembekal kandungan tempatan yang memasarkan langganan bagi kandungan tempatan.

Saluran dalam talian Tonton milik Media Prima Bhd umpamanya, gagal melaksanakan bisnes kandungan berbayar. Akhirnya berubah menjadi platform tontonan percuma.

Portal mencipta trafik tanpa pendapatan

Walaupun angka pengguna digital dan akses internet mencapai 80% di negara ini, namun, ia tidak sinonim dengan pendapatan yang dijana platform kandungan popular di negara ini.

Malah, perkhidmatan berita dalam talian juga berada dalam keadaan “gagal” untuk mendapatkan pelanggan berbayar.

Ini satu realiti menyedihkan apabila tabiat aktif rakyat Malaysia di internet tidak menyokong industri kandungan berbayar milik operator tempatan.

Selain itu, tidak ada satu pun portal berita di negara ini yang meraih keuntungan (sebenarnya balik modal pun tidak) sekiranya diukur dengan jumlah langganan pengguna.

Portal berpengaruh seperti Malaysiakini yang dianggap mewakili trend dan mentaliti semasa pun, turut berdepan ketidakpadanan pendapatan berbanding reputasinya.

Manakala, portal berita yang berada pada ranking tertinggi seperti Malaysian Gazette, Berita Harian, Harian Metro dan Sinar Harian juga gagal meraih langganan berbayar yang sepadan dengan kos operasi.

Masyarakat masih menilai status pemilikan maklumat dan sumber berita sebagai kandungan berkelas bacaan percuma.

“Banyak operator kelas elit mengumumkan secara bangga dan angkuh sebagai portal nombor satu, tetapi secara komersil bisnesnya tidak memiliki nilai langganan,” kata rakan editor yang 12 tahun mengendalikan portal berita.

Walaupun memiliki trafik unik mencapai 6 juta pelayar sehari, namun tidak sampai 5% yang sanggup melanggannya secara berbayar.

“Kita hanya menang lagak dengan angka pembaca dalam talian saja.

“Hakikatnya, ia tidak menjana langganan berbayar mahu pun pendapatan iklan yang berbaloi,” keluhnya.

Ketika mengendalikan satu dapatan random untuk rujukan bisnes platform digital Kumpulan Utusan (Jun 2019), banyak kejutan ditemukan.

Responden remaja dan pelajar universiti yang memiliki kewangan yang terhad, mengaku melanggan pelbagai saluran kandungan berbayar.

“Kami sesama rakan kuliah berkongsi bayaran bulanan,” kata seorang siswa yang mengaku tegar menonton rangkaian drama Kpop.

Bagi remaja penggila permainan atas talian, keadaan lebih teruk.

Penggila permainan atas talian terutama aplikasi bermain secara berkumpulan, menghabiskan masa antara empat ke lapan jam sehari.

Aplikasi permainan digital menawarkan rangkaian permainan secara global.

“Ia menarik kerana akses permainan dalam talian merentas sempadan negara,” kata remaja yang menghabiskan masa selama empat jam sehari dalam permainan dalam talian.

Malaysia boleh sahaja berbangga dengan 28 juta akaun Facebook tempatan, dan hampir 12 juta akaun Instagram – tetapi hakikatnya, kecenderungan penggunaannya tidak berkualiti.

“Warga pencen menggunakan internet bagi mengisi masa berbual dalam talian, manakala anak muda aktif di media sosial sebagai sosialit digital sahaja,” kata seorang rakan.

Begitulah realiti penggunaan jalur lebar cara Malaysia. Internet hanya mencetuskan tabiat kepenggunaan yang tinggi tetapi tidak mencipta trend yang benar-benar bermanfaat dan bernilai komersial.

Trend internet cara Malaysia – ibarat lagu tentera Irish berkawad waktu pagi: “so early in the morning”.

Orang yang kalap bahasa menyanyikan semula: “Sua sue kemuning....” – 17 Jun, 2020.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen