BEIJING pada Selasa menggesa penduduknya tidak meninggalkan bandar dan menutup semula sekolah ketika pihak berkuasa berusaha mengekang penyebaran wabak koronavirus yang “teruk” di bandar berjumlah 21 juta penduduk itu.
Kemunculan semula virus koronavirus - yang diyakini berpunca di pasar makanan borong Xinfadi di bancar - menimbulkan kebimbangan ketika China sebahagian besarnya mengendalikan wabak melalui ujian besar-besaran dan langkah pengurungan ketat.
China melonggarkan sebahagian besar tindakan anti-koronavirusnya dalam beberapa bulan terakhir ketika kerajaan mengisytiharkan kemenangan menentang penyakit yang muncul di Wuhan pada hujung tahun lalu.
Kebimbangan progres terjejas, pihak berkuasa menutup beberapa kawasan kediaman dan mengumumkan larangan baru pada Selasa, dengan sukan berkumpulan dilarang, orang ramai diarah memakai topeng di tempat tertutup yang sesak, dan lawatan berkumpulan antara wilayah ditangguhkan.
Kerajaan tempatan berkata penduduk harus mengelak daripada melakukan “perjalanan tidak penting” keluar dari bandar.
“Sesiapa yang meninggalkan Beijing perlu mempunyai bacaan negatif ujian asid nukleat yang diambil dalam masa tujuh hari (sebelum berangkat),” kata Chen Bei, timbalan setiausaha agung kerajaan perbandaran Beijing, pada sidang media.
Penduduk kawasan jangkitan berisiko sederhana atau tinggi dilarang keluar.
Kenderaan luar dan pemilik bukan penduduk dilarang masuk ke komuniti dan kampung di kawasan berisiko sederhana dan tinggi, kata Chen.
Beliau menambah kawasan perumahan berisiko tinggi “ditutup dan dikawal sepenuhnya” - sama seperti tindakan tempatan ketat yang dikenakan di Wuhan pada waktu wabak memuncak.
Suruhanjaya pendidikan tempatan mengumumkan semua sekolah, yang kebanyakannya sudah dibuka semula, akan ditutup kembali dan menyambung kepada kelas dalam talian. Universiti juga diarahkan menangguhkan kepulangan pelajar.
“Situasi wabak di ibu negara sangat teruk,” kata jurucakap bandar Beijing Xu Hejian dalam satu sidang media.
Sebanyak 27 kes lain dilaporkan pada Selasa.
Ia menjadikan jumlah jangkitan disahkan di Beijing sejak lima hari terakhir kepada 106 orang, ketika pihak berkuasa mengurung hampir 30 komuniti di bandar itu dan menguji puluhan ribu orang.
Kesan dan uji
Pegawai di bandar itu berkata mereka akan menguji pemilik gerai dan pengurus di semua pasar makanan, restoran dan kantin kerajaannya.
Kapasiti ujian Beijing ditambah menjadi 90,000 sehari, menurut agensi berita negara Xinhua.
Pada Selasa, suruhanjaya pengangkutan di ibu negara melarang perkhidmatan pengangkutan teksi dan beroperasi daripada membawa penumpang ke luar bandar, kata Xinhua.
Syarikat diberitahu agar menggalakkan kerja fleksibel seperti bidang telekomunikasi, sementara perpustakaan, muzium, galeri seni dan taman mengenakan had kapasiti sehingga 30%.
Semua tempat sukan dan hiburan tertutup di Beijing diarah tutup pada Isnin, sementara beberapa bandar lain di seluruh China memberi amaran mereka akan mengenakan kuarantin setibanya dari ibu negara itu.
Pihak berkuasa juga melaporkan empat jangkitan tempatan baharu di wilayah Hebei, sementara kes yang dilaporkan di wilayah Sichuan dikaitkan dengan kluster Beijing.
Pihak berkuasa bekerja keras mengesan penduduk dari Beijing yang melakukan perjalanan ke bahagian lain di China, dan menggesa mereka yang mengunjungi ibu negara menjalani ujian.
Pasar diperiksa
Pegawai Beijing menutup 11 pasar dan melakukan kerja pembasmian kuman di 276 pasar pertanian dan 33,000 perniagaan makanan dan minuman.
Tujuh lagi kawasan perumahan juga ditutup pada Selasa.
“Wabak Beijing mungkin akan dapat dikendalikan dengan cepat,” kata Wu Hulin, seorang pekerja teknologi berusia 23 tahun di daerah Xicheng yang menjalani ujian.
“Saya rasa (China) melakukan kerja yang lebih baik berbanding di luar negara.”
Pihak berkuasa memberi amaran sejak 30 Mei, seramai 200,000 orang mengunjungi pasar Xinfadi, yang membekalkan lebih 70% buah dan sayur-sayuran di Beijing.
Lebih 8,000 pekerja di sana sudah diuji dan dihantar untuk menjalani kuarantin.
Sehingga wabak baharu, kebanyakan kes di China baru-baru ini melibatkan warganegara yang kembali ketika Covid-19 tersebar di seluruh dunia.
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China berkata pada Isnin, jenis virus yang dijumpai dalam wabak Beijing adalah “strain wabak utama” di Eropah.
Wu Zunyou, ketua epidemiologi badan itu, memberitahu penyiar negara CCTV yang punca wabak “kemungkinan besar” berasal dari luar China atau bahagian lain di negara ini. – AFP, 17 Jun, 2020.
Komen