Pakatan masih pilih calon PM, kata ketua setiausaha


Semua laporan mengenai isu calon perdana menteri tidak berasas, kata Ketua Setiausaha Pakatan Harapan Saifuddin Nasution Ismail. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Jun, 2020.

PAKATAN Harapan masih berbincang tentang pilihan calon perdana menteri, kata Saifuddin Nasution Ismail, ketika khabar angin sedang bertiup kencang tentang tokoh yang akan menerajui gabungan politik itu.

Dalam kenyataan ringkas dikeluarkan malam ini, ketua setiausaha PH itu berkata semua laporan berkaitan calon perdana menteri adalah tidak berasas dan tidak pernah dikeluarkan oleh mereka mahupun PH Plus.

“Sementara kita menghormati pandangan serta komen-komen yang diberi pelbagai pihak, sayugia dimaklumkan perbincangan masih lagi dilakukan di antara komponen Pakatan Harapan dan rakan-rakan pembangkang.

“Kenyataan rasmi tentunya akan dikeluarkan apabila keputusan muktamad dicapai,” katanya.

Awal hari ini, The Malaysian Insight melaporkan yang PH sekali lagi dalam kebingungan selepas parti komponennya tidak berjaya mencapai kata sepakat tentang tempoh Dr Mahathir Mohamad wajar menjadi perdana menteri, sekiranya PH kembali berkuasa.

Selepas berjaya mencapai persetujuan yang Dr Mahathir akan kembali jadi perdana menteri dan Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai timbalannya, PH kini bertikai tentang tempoh masa peralihan kuasa.

PH kini dianggotai PKR, DAP dan Amanah serta sekutu Parti Warisan Sabah dan kumpulan Bersatu yang menyokong Dr Mahathir.

Dalam pertemuan PH Plus sebelum ini, timbul cadangan supaya Dr Mahathir jadi perdana menteri selama setahun dan bukannya enam bulan seperti cadangan asal, kata sumber.

The Malaysian Insight tidak dapat memastikan pihak atau parti mana yang mencadangkan tempoh enam bulan dan 12 bulan itu.

Cadangan untuk Dr Mahathir jadi perdana menteri selama enam bulan difahamkan dibuat dalam mesyuarat PH Plus pada 9 Jun.

Pertemuan itu bagaimanapun tidak mencapai kata sepakat untuk menerima Dr Mahathir sebagai perdana menteri sekali lagi.

Namun ketika PKR mula menerima idea itu kerana hanya untuk enam bulan, parti itu terkejut dengan satu lagi cadangan pada mesyuarat kedua pada Sabtu untuk Dr Mahathir jadi perdana menteri bagi tempoh setahun.

“Kami fikir isu menerima beliau sebagai perdana menteri boleh selesai Sabtu lepas tetapi tempoh 12 bulan menyebabkan semua orang tidak dapat buat keputusan,” kata seorang lagi sumber, dari PKR.

“Sebelum lima pihak terlibat dapat buat keputusan, tiang golnya sudah berubah lagi.”

Menurut sumber, cadangan supaya Dr Mahathir jadi perdana menteri pada mula mengejutkan kerana beliau sendiri letak jawatan pada 24 Februari lalu ketika partinya menarik diri dari PH.

Dr Mahathir menentang langkah yang digerakkan oleh Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Peletakan jawatan Dr Mahathir dan penarikan sokongan Bersatu menyebabkan kerajaan PH tumbang. Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 1 Mac.

“Jadi, cadangan beliau untuk sekali lagi mengejutkan,” kata sumber PKR.

PH Plus dijadual bertemu sekali lagi hari ini untuk menyelesaikan kekusutan itu.

Mesyuarat bagaimanapun ditangguhkan kerana Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal yang juga ketua menteri Sabah, tidak dapat hadir.

Selepas pertukaran kerajaan pada hujung Februari, PH menyusun semula kedudukannya untuk menghadapi PN dalam pilihan raya umum yang dijangka akan berlangsung lebih awal.

Mandat Parlimen ke-14 dijadual berakhir pada 15 Julai 2023.

Akhbar The Straits Times di Singapura minggu lalu melaporkan Muhyiddin mahu pilihan raya lebih awal tahun ini untuk menamatkan keraguan mengenai mandatnya.

Pada masa ini PN mempunyai 115 ahli Parlimen sementara pembangkang 107 kerusi. – 16 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen