RUMAH ibadat bukan Islam belum dibuka kerana masih menunggu senarai lengkap prosedur operasi standard (SOP) dimuktamadkan, kata kumpulan antara agama.
Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) memberitahu The Malaysian Insight Kementerian Perpaduan Negara (KPN) kini sedang merangka SOP bagi membenarkan rumah ibadat beroperasi dan majlis perkahwinan diadakan.
Naib Presiden MCCBCHST yang juga Presiden Hindu Sangam Malaysia R.S. Mohan berkata mereka dimaklumkan mengenai SOP baharu tersebut pada satu pertemuan antara persatuan itu dengan KPN pagi tadi.
“SOP lengkap dijangka keluar dalam tempoh dua minggu lagi,” kata Mohan.
“SOP baharu ini untuk rumah ibadat dan majlis perkahwinan.
“Pembukaan rumah ibadat akan diumumkan Menteri Perpaduan Negara Halimah Mohamed Sadique.”
Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob semalam berkata Putrajaya memutuskan untuk membenarkan semua rumah ibadat bukan Islam untuk beroperasi semula tetapi tertakluk kepada peraturan dan undang-undang kerajaan negeri.
Ismail Sabri berkata keputusan itu dibuat selepas Kementerian Perpaduan Negara mengadakan pertemuan dengan semua pemimpin bukan Islam.
“Jika sebelum ini hanya 171 rumah ibadat yang dibenarkan dibuka, hari ini kita putuskan untuk benarkan kesemua 5,230 rumah ibadat beroperasi.
“Mereka dapat beroperasi seperti biasa tetapi masih perlu mendapatkan kebenaran daripada kerajaan negeri,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya semalam. – 16 Jun, 2020.
Komen