Sarawak benar tadika beroperasi 2 sesi


TAMAN didikan kanak-kanak (tadika) di Sarawak dengan bilangan kanak-kanak yang ramai, dibenarkan beroperasi dalam dua sesi, iaitu pagi dan petang bermula 1 Julai ini.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak Fatimah Abdullah berkata ia bagi membolehkan kanak-kanak di setiap tadika mempunyai ruang  mencukupi untuk penjarakan sosial.

“Sekiranya bilangan (kanak-kanak tadika) ramai, bolehlah digunakan dua sidang iaitu sesi pagi dan sesi petang atau secara bergilir harian dan ini bergantung kepada persetujuan bersama antara ibu bapa dengan pengusaha (tadika),” katanya dalam sidang media di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur, Petra Jaya, hari ini.

Beliau berkata salah satu syarat untuk tadika di negeri itu beroperasi semula adalah jumlah kanak-kanak dalam setiap bilik mestilah dikurangkan lebih 50% daripada jumlah maksima bilik bagi membolehkan penjarakan sosial.

“Maksima ialah (sebagai contoh) seramai 25 (orang kanak-kanak tadika dalam satu bilik ), jadi, seramai 10 (orang kanak-kanak tadika dalam satu bilik) adalah jumlah yang kami nasihatkan,” katanya.

Fatimah meminta ibu bapa agar mematuhi SOP dengan menghantar dan mengambil anak mereka mengikut masa ditetapkan bagi mengelakkan berlakunya kesesakan di tadika terbabit.

Bagi SOP lain tidak banyak beza dengan taman asuhan kanak-kanak (taska) yang sudah beroperasi di negeri ini sejak 9 Jun lepas, antaranya seperti melakukan kerja sanitasi premis sebelum memulakan beroperasi, tiada aktiviti berkumpulan kanak-kanak, tidak berkongsi mainan atau tempat tidur.

“Tadika yang gagal mematuhi SOP ditetapkan akan diarahkan untuk memberhentikan operasi (mereka). Ini adalah kuasa yang kami ada. (Pemberhentian operasi) ini (berkuat kuasa) sehingga kami berpuas hati mereka melakukan kerja yang perlu bagi mematuhi SOP terbabit,” katanya. – Bernama, 16 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen