SEMENTARA kebanyakan remaja berusia 16 tahun menghabiskan hari dengan sekolah dan bersama rakan dan keluarga, bagi Ang Kian Kok, dia hanya berbaring di biliknya atau menonton televisyen di rumah ibu bapanya.
Ang tidak pernah keluar rumah kerana dua sebab – satu kerana malu, kerana dia terpaksa memakai alat peranti pengawasan elektronik (EMD) di buku lalinya yang menandakan dia seorang tahanan.
Satu sebab lagi ialah kerana takut ditahan sekali lagi jika melanggar radius 10km yang akan menghantar tanda amaran kepada polis menerusi EMD itu.
Dia ditangkap kerana memecah masuk kereta dan memiliki barang curi.
Ang salah seorang daripada 142 juvana yang ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA). Awal tahun ini, dia ditahan 60 hari, dan kemudian dikenakan tahanan rumah di mana dia akan memakai EMD selama dua tahun.
Ibunya, seorang suri rumah S. Dewagi berkata setiap hari dia bimbang anaknya tidak akan menjalani kehidupan normal lagi, dan berharap Ang akan dibenarkan menanggalkan EMD sebelum tempoh dua tahun tamat.
“Anak saya tidak boleh buat lagi sekarang dan hanya duduk di rumah. Dia hanya boleh keluar rumah antara jam 6 pagi hingga 8 malam, tetapi dia terlalu takut untuk pergi jauh kerana bimbang ditangkap lagi.
“Paling jauh dia pergi 1km dari rumah.”
Dewagi berkata anaknya itu yang keciciran dari sekolah sebelum ditahan, sepatutnya mendaftar ke sekolah vokasional supaya boleh belajar perdagangan, tetapi sejak insiden itu, segala-galanya berubah.
“Kami sebagai ibu bapanya mahu dia buat sesuatu dalam hidup dan berharap dia boleh belajar sedikit kemahiran. Tetapi dalam keadaan dia macam ini sekarang, bagaimana dia mahu belajar?”
Katanya, dia tidak boleh jelaskan lebih lanjut mengapa anaknya itu ditahan, kerana siasatan kes itu masih dijalankan.
EMD digunakan untuk tahanan di bawah POCA, yang dipinda pada 2013 bagi membenarkan penahanan tanpa bicara. Undang-undang itu bertujuan untuk menangani jenayah serius dan terancang susulan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960.
Timbalan Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini berkata selain 142 juvana itu, ada lagi 17 remaja bawah umur ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) sejak undang-undang itu dikuatkuasakan.

Kumpulan hak asasi manusia mengecam penggunaan POCA dan undang-undang keselamatan lain, berkata ia terdedah untuk disalahgunakan oleh pihak berkuasa. Pendedahan tentang lebih 100 remaja bawah umur ditahan di bawah POCA amat mengejutkan dan salah guna hak asasi manusia, kata mereka.
Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Sevan Doraisamy berkata kumpulan itu menerima dan dirujuk kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) “banyak kes” membabitkan tuduhan seksaan dan salah guna kuasa ketika ditahan di bawah POCA, termasuk membabitkan remaja bawah umur.
“Kami menentang POCA kerana tidak ada siasatan yang sempurna,” kata Sevan kepada The Malaysian Insight.
“POCA memang jelas hanya alat untuk polis menahan seseorang tanpa siasatan yang sempurna, dan kini mereka menggunakannya terhadap kanak-kanak.
“POCA sepatutnya untuk penjenayah tegar yang ada rekod kesalahan lampau dan ditahan kerana polis tidak ada bukti mencukupi.
“Tetapi ini ialah remaja 16 dan 17 tahun. Bagaimana pula mereka jadi penjenayah tegar? Ini tidak boleh diterima.”
Sevan mendesak Kementerian Dalam Negeri membebaskan semua juvana di bawah POCA dan mendakwa mereka yang bersalah melakukan jenayah di mahkamah di mana mereka akan dibela oleh peguam.
“Keseluruhan proses ini dipertikaikan dan melanggar hak asasi manusia di mana Malaysia ialah antara pihak di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai hak kanak-kanak (UNCRC),” katanya.
Pengerusi Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (Proham) Kuthubul Zaman berkata POCA jelas pelanggaran hak asasi manusia, terutama hak kanak-kanak, dan mendesak kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja mengenai kes semua tahanan bawah umur di bawah akta itu.
“Ini pelanggaran konvensyen hak asasi kanak-kanak.
“Mereka perlu dibebaskan tanpa syarat jika tiada bukti aktiviti jenayah. Kalau tidak, dakwa mereka di Mahkamah Juvana,” katanya.
Packiam Amircham, 43, berkata dia melihat masa depan anak lelakinya berusia 19 tahun musnah selepas ditahan di bawah POCA.
Vikram Naidu ditahan kerana terbabit dalam pergaduhan geng selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2016. Selepas tempoh tahanan 60 hari, polis menghantarnya ke penjara Kluang.
“Saya ada rancangan untuk menghantar Vikram ke kolej selepas SPM tetapi kerana insiden itu, kami tidak boleh buat apa-apa sekarang.
“Dia hanya kanak-kanak ketika disumbat ke penjara. Saya terkejut dan sangat sedih melihatnya begitu,” katanya.
Packiam berkata dia melaporkan kes anaknya kepada Suhakam, yang berjaya mendapatkan pembebasan untuk Vikram selepas menjalani hukuman penjara empat bulan daripada dua tahun. Dia sebaliknya diberikan EMD dan dikenakan tahanan rumah.
“Dia masih menjalani hukuman dua tahunnya yang akan berakhir pada Mac 2018.
“Tetapi kami juga tidak tahu sama ada mereka akan melanjutkan lagi hukumannya atau tidak,” katanya. – 1 Disember, 2017.
Komen