TIGA sekeluarga di Bintulu disahkan positif Covid-19, kata Timbalan Ketua Menteri Sarawak Douglas Uggah Embas.
Ahli keluarga pertama yang dikesan dijangkiti virus itu merupakan pelajar pusat pengajian tinggi, selepas menjalani ujian saringan bagi pelajar yang pulang dari universiti.
Pelajar berkenaan pulang ke rumahnya di Bintulu pada Mac sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada pertengahan Mac lalu, kata pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak itu.
Siasatan awal mendapati pelajar berkenaan menerima kunjungan saudara-mara semasa Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.
Jabatan kesihatan negeri kini sedang mengesan kontak rapat pelajar yang direkodkan sebagai “kes 557” dan punca jangkitan, kata Uggah.
Dengan tiga kes baharu itu, ia menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Sarawak setakat ini 560, dengan 17 kes kematian.
Walaupun tiada pesakit yang dibenarkan hospital hari ini, Uggah berkata jumlah keseluruhan kes postif Covid-19 yang sembuh setakat ini kekal pada 95.36% atau 534 orang.
Seramai sembilan orang masih menerima rawatan di hospital, iaitu lima di Hospital Umum Sarawak di Kuching dan empat di Hospital Bintulu. – 16 Jun, 2020.
Komen