Maiwp belanja RM190 juta untuk bantuan PKP


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata Maiwp akan melaksanakan pelbagai inisiatif lain yang menyasarkan mereka yang hilang pekerjaan dalam tempoh PKP Pemulihan (PKPP). – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Jun, 2020. 

MAJLIS Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) membelanjakan RM190 juta bagi membantu golongan yang berdepan kesukaran sepanjang dua bulan pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)  berikutan pandemik Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata Maiwp akan melaksanakan pelbagai inisiatif lain yang menyasarkan mereka yang hilang pekerjaan dalam tempoh PKP Pemulihan (PKPP).  

“Maiwp tidak hanya memberi bantuan secara one-off tetapi turut disokong dengan bantuan secara berterusan yang memastikan kelangsungan hidup serta menjamin pendapatan golongan terjejas.

“Maiwp akan berusaha menyantuni seramai mungkin golongan penganggur mengikut kemampuan pihak majlis termasuk dengan kerjasama majlis agama Islam negeri-negeri bagi memperkemaskan agihan,” katanya pada sidang media hari ini.

Terdahulu beliau  menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Pondok Moden Al ‘Abaqirah Maiwp bersama Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL), di Kuala Lumpur hari ini.  

Dalam perkembangan lain, Zulkifli berkata keputusan mengenai pembukaan semula operasi maahad tahfiz akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Kita memahami keadaan maahad tahfiz kerana ada antara mereka juga akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia,” katanya. 

Pada 12 Jun lepas, sekretariat khas pandemik Covid-19 Institut Tahfiz Negara memohon agar semua institusi dan maahad tahfiz dibenarkan kembali beroperasi pada 24 Jun ini selaras dengan pembukaan sesi persekolahan untuk kelas peperiksaan. – Bernama, 16 Jun, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen