Pendakwaan mahu pinda pertuduhan kes pindaan laporan audit 1MDB


Bede Hong

Timbalan Pendakwa Raya Kanan Gopal Sri Ram hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pihaknya mahu meminda susunan kata dalam pertuduhan terhadap Najib Razak bagi kes pindaan laporan audit 1MDB. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Jun, 2020.

PIHAK pendakwaan dalam perbicaraan kes pindaan laporan audit 1Malaysia Development Bhd (1MDB) membabitkan Najib Razak dijangka akan meminda pertuduhan salah guna kuasa terhadap bekas perdana menteri itu esok.

Ketua pasukan pendakwaan, Gopal Sri Ram hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pihaknya mahu meminda pertuduhan terhadap Najib.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata pindaan itu tersebut supaya “begitu jelas” bahawa laporan akhir audit 1MDB telah dipinda.

Tambah beliau, pertuduhan terhadap bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy, yang didakwa bersubahat dengan Najib, juga akan dipinda.

Jika mahkamah membenarkan, pembelaan berhak memanggil semula kesemua saksi yang dipanggil sebelum ini susulan terdapat perubahan dalam pertuduhan.

Najib pada 12 Disember 2018 mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyalahguna kedudukannya untuk meminda maklumat dalam laporan audit 1MDB antara 22 dan 26 Februari 2016 di Pejabat Perdana Menteri sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), untuk mengelak sebarang tindakan terhadapnya.

Beliau didakwa menggunakan kedudukan sebagai perdana menteri dan penjawat awam, untuk mendapatkan suapan bagi dirinya, iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, dengan mengarahkan laporan akhir audit 1MDB dipinda sebelum laporan itu dimuktamad dan dibentangkan kepada PAC.

Tuduhan adalah mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Seksyen 23 Akta SPRM melarang mana-mana penjawat awam menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan bagi dirinya, keluarga atau orang lain.

Arul Kanda didakwa bersubahat dengan Najib meminda laporan audit 1MDB bagi melindungi bekas perdana menteri itu dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah . 

Tuduhan terhadapnya adalah mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman sama, jika sabit kesalahan. – 16 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen