New Zealand lapor 2 kes baharu Covid-19 dalam tempoh 25 hari 


New Zealand masih meneruskan kawalan di sempadan bagi memastikan pengekangan Covid-19. – Gambar AFP, 16 Jun, 2020.

NEW Zealand lapor dua kes Covid-19 pada Selasa, mengakhiri tempoh lebih tiga minggu tanpa jangkitan baharu, kata pihak berkuasa kesihatan.

Kedua-dua pesakit itu baru tiba dari United Kingdom, kata kementerian kesihatan.

“Kementerian mengesahkan hari ini dua kes baharu Covid-19 di New Zealand yang berkaitan dengan sempadan susulan perjalanan baru-baru ini dari UK. Kedua-dua kes itu berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan ringkas.

Sempadan New Zealand hanya dibuka kepada rakyat dan keluarga mereka yang pulang, selain beberapa pengecualian bagi urusan perniagaan dan budi bicara, dengan semua orang perlu menjalani kuarantin wajib selama dua minggu.

Negara Pasifik Selatan yang hanya mencatatkan 22 kematian di dalam negara mempunyai 5 juta penduduk, berkata minggu lalu ia berjaya menyingkirkan penularan virus di kalangan rakyatnya.

Susulan itu, sekatan domestik termasuk syarat penjarakan sosial dan had perhimpunan awam ditarik balik, tetapi kawalan sempadan diteruskan.

Perdana Menteri Jacinda Ardern berkata pada Isnin beliau tidak mengisytiharkan negara itu bebas virus kerana “New Zealand akan mempunyai kes lagi di masa depan”.

“Sudah tentu, harapan dan jangkaan kami ia hanya setakat di sempadan… jika mereka dikuarantin, tentu saja, ia berbeza dengan jika berada di kalangan masyarakat,” katanya kepada wartawan, sambil menambah “ia adalah kempen yang sedang berlangsung”. – AFP, 16 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen