DIANGGARKAN 1.7 bilion manusia - lebih 20% populasi dunia - berisiko dijangkiti Covid-19 yang teruk kerana masalah kesihatan seperti obesiti dan penyakit jantung, menurut analisis pada Selasa.
Koronavirus baharu yang membunuh lebih 420,000 orang di seluruh dunia semasa gelombang pertamanya, memberi kesan buruk kepada pesakit yang turut menderita penyakit lain.
Sekumpulan pakar dari London School of Hygiene and Tropical Medicine menganalisis kumpulan data global penyakit termasuk diabetes, penyakit paru-paru dan HIV menggunakannya untuk menganggarkan berapa ramai berisiko tinggi mendapat jangkitan Covid-19 yang serius.
Mereka mendapati satu daripada lima orang mempunyai sekurang-kurangnya satu masalah kesihatan yang akan meletakkan mereka dalam risiko lebih besar.
Walaupun tidak semua mengalami gejala teruk jika dijangkiti, para penyelidik berkata kira-kira 4% populasi global - sekitar 350 juta - berkemungkinan jatuh sakit hingga memerlukan rawatan di hospital.
“Ketika semakin banyak negara menarik balik langkah sekatan, kerajaan sedang mencari cara untuk melindungi golongan paling berisiko daripada virus yang masih ada,” kata Andrew Clark, yang turut terlibat dalam kajian itu.
“Ini mungkin melibatkan menasihati mereka yang ada masalah kesihatan agar mengambil langkah penjarakan sosial yang sesuai dengan tahap risiko mereka.”
Clark berkata kajian itu dapat membantu kerajaan membuat keputusan mengenai siapa yang perlu menerima vaksin Covid-19 terlebih dahulu apabila ia ditemui.
Selaras dengan kajian lain mengenai risiko Covid-19, pengkaji mendapati golongan tua lebih berisiko akibat virus ini.
Kurang 5% mereka yang berumur di bawah 20 tahun mempunyai faktor risiko kesihatan, berbanding dua pertiga bagi yang berumur lebih 70-an.
Negara dengan populasi lebih muda mempunyai kurang penduduk dengan sekurang-kurangnya satu masalah kesihatan, tetapi risiko berbeza di seluruh dunia, menurut analisis.
Di Eropah, kajian menunjukkan lebih 30% penduduk mempunyai satu atau lebih masalah kesihatan.
Menulis dalam komen berkaitan, Nina Schwalbe dari Columbia University Mailman School of Public Health, berkata kajian itu menunjukkan sudah sampai masanya mengunakan pendekatan memberi tumpuan kepada golongan paling berisiko. – AFP, 16 Jun, 2020.
Komen