Menteri pendidikan Brazil didenda tidak pakai topeng muka


Menteri Pendidikan Abraham Weintraub (kanan) dan Carlos Bolsonaro (kiri), anak Presiden Bolsonaro di Palacio do Alvorada, Brasilia, Brazil. – Gambar EPA, 16 Jun, 2020.

MENTERI pendidikan Brazil didenda kerana tidak memakai topeng muka semasa tunjuk perasaan untuk Presiden Jair Bolsonaro, yang berulang kali ingkar undang-undang mewajibkan pemakaian topeng di tempat awam di Brasillia.

Abraham Weintraub, seorang menteri paling kontroversi presiden sayap kanan, tampil di perhimpunan anjuran penyokong Bolsonaro pada hAhad.

Beliau berjabat tangan dan bergambar dengan peserta protes - yang kebanyakannya juga tidak memakai topeng, yang diwajibkan di khalayak umum di ibu negara Brazil sejak April.

Beliau didenda AS$385 oleh pemerintah daerah Brasilia kerana “ditangkap di khalayak ramai tanpa topeng pelindung,” menurut media Brazil, yang memuat gambar slip dendanya.

Weintraub menulis di Twitter beliau belum diberitahu mengenai denda itu tetapi ia terbukti sah.

“Mereka berusaha menutup mulut saya dengan apa cara sekali pun,” katanya.

Bolsonaro, yang menyamakan koronavirus baharu dengan “selesema kecil” dan mengecam respons “histeria” terhadap virus itu, juga kerap dilihat tanpa topeng pada demonstrasi hujung minggu oleh para penyokongnya, walaupun setakat ini masih belum didenda.

Weintraub berulang kali terlibat dalam kontroversi, membuat komen anti-China yang secara meluas dianggap sebagai rasis, salah ejaan dalam dokumen rasmi dan di Twitter, dan baru-baru ini berkata hakim Mahkamah Agung adalah “penjenayah” dan harus “dijatuhkan hukuman penjara.”

Beliau mengeluarkan komen itu pada Ahad, dengan berkata kepada penunjuk perasaan: “Saya sudah mengatakan apa yang akan saya lakukan dengan penjenayah tersebut.”

Ketika koronavirus meningkat di Brazil, yang kini menyaksikan angka kematian kedua tertinggi di seluruh dunia selepas Amerika Syarikat, ketegangan memuncak antara Bolsonaro dan pihak berkuasa negeri serta institusi perundangan dan kehakiman kerajaan.

Kerajaan Brasilia mengharamkan demonstrasi hujung minggu lalu dengan alasan bagi memerangi penyebaran koronavirus.

Pada Sabtu, selepas polis meleraikan penunjuk perasaan oleh satu kumpulan penyokong tegar Bolsonaro yang cuba menyerbu masuk bangunan Mahkamah Agung, lalu melepaskan tembakan bunga api.

Pada Isnin, pihak berkuasa menahan enam aktivis sayap kanan kerana “tindakan anti-demokratik.” Penangkapan itu diperintahkan oleh Hakim Mahkamah Agung Alexandre de Moraes.

Ketua Hakim Jose Antonio Dias Toffoli menyebut tembakan bunga api di Mahkamah Agung sebagai “serangan” dan berkata dalam satu kenyataan beliau tidak dapat menerima ancaman terhadap kehakiman. – AFP, 16 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen