INDONESIA yang mula memasuki fasa kelonggaran Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB) yang dikuatkuasa untuk mengekang penularan wabak Covid-19, mengumumkan yang acara hari tanpa kereta di Jakarta akan diadakan semula Ahad ini, lapor akhbar The Jakarta Post.
Acara itu yang sebelum ini dijalankan pada hari Ahad di dua jalan utama di Jakarta- Jl. Sudirman dan Jl. MH Thamrin- bagaimanapun hanya dikhususkan untuk orang ramai bersenam dan berbasikal sahaja.
Penjaja makanan dan barangan masih tidak dibenarkan beroperasi kerana berpotensi menarik khalayak berhimpun.
“Kita akan menjalankan semula hari tanpa kereta minggu depan untuk senaman sahaja,” Gabenor Jakarta Anies Baswedan dipetik berkata, semalam.
“(Bagaimanapun) Kita tidak membenarkan lagi peniaga jalanan beroperasi pada hari tanpa kereta kerana ia berpotensi menarik khalayak ramai.”
Acara mingguan yang menarik tumpuan penduduk Jakarta itu dibatalkan sejak 15 Mac lalu dalam usaha negara itu mengekang penularan wabak Covid-19.
Jakarta melanjutkan tempoh PSBB sehingga akhir Jun ini dan akan perlahan-lahan membatalkan sekatan pergerakan untuk pelbagai sektor ketika ia melaporkan kadar kebolehjangkitan Covid-19 mula menurun.
Semalam, Jakarta hanya melaporkan 117 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah kes di ibu kota Indonesia itu sebanyak 8,978 dengan 555 korban wabak. – 15 Jun, 2020.
Komen