RAKYAT Malaysia di luar negara disarankan membuat ujian saringan Covid-19 tiga hari sebelum mereka pulang ke tanah air, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata ia berikutan terdapat isu tempoh waktu menunggu yang terlalu lama apabila mereka yang pulang dari luar negara tiba di lapangan terbang untuk menjalani ujian saringan Covid-19.
“Ada kemungkinan jika mereka tidak dapat keputusan ujian swab dalam sehari, mereka akan dihantar ke pusat kuarantin di institut-institut latihan awam sehingga keputusan itu keluar.
“Oleh itu, sebagai pilihan kepada rakyat kita yang ingin pulang dan tidak menunggu lama di lapangan terbang, mereka disarankan membuat saringan Covid-19 tiga hari sebelum mereka pulang,” katanya pada sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan di Putrajaya, hari ini.
Mereka yang telah menjalani saringan di luar negara, kata beliau, perlu mendapatkan sijil pengesahan bahawa keputusan mereka negatif serta mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan seperti memuat turun aplikasi MySejahtera, wajib pakai gelang tangan kuarantin dan kuarantin di rumah selama 14 hari.
Komen