PERANCIS melaporkan sembilan kematian akibat Covid-19 semalam, jumlah terendah dicatatkan setakat ini, memetik statistik terbaru Kementerian Kesihatan.
Jumlah kematian setakat ini, seramai 19,023 maut di hospital manakala 10,350 lagi di rumah penjagaan, lapor agensi berita Anadolu.
Sejak wabak melanda, angka korban ialah seramai 29,407 orang dengan jumlah jangkitan meningkat kepada 157,220.
Bilangan kemasukan ke hospital turut menunjukkan penurunan, iaitu seramai 10,836 menurun 28 pesakit berbanding hari sebelumnya. Jumlah pesakit dirawat di unit rawatan rapi pula seramai 841 penurunan sebanyak 10 pesakit. Setakat ini seramai 72,849 pesakit sudah pulih.
Pada Ahad Presiden Emmanuel Macron mengumumkan pelan fasa ketiga sedang dibuat, bakal menyaksikan kafe, bar dan restoran dibenar dibuka semula mulai Isnin, 15 Jun, manakala sekolah pada 22 Jun.
Sejak pertama kali muncul di Wuhan, China Disember lalu, wabak Covid-19 kini menular ke 188 negara dan wilayah di seluruh dunia. Brazil dan Amerika Syarikat antara negara paling teruk diancam.
Wabak itu sudah meragut lebih 432,000 nyawa di seluruh dunia, dengan jumlah jangkitan mencecah lebih 7.8 juta, sementara lebih 3.7 juta pesakit pulih, menurut data Johns Hopkins University. – Bernama, 15 Jun, 2020.
Komen