Perkeso bayar RM103 juta kepada 30,000 pekerja hilang kerja, kata menteri


Ravin Palanisamy

Menteri Sumber Manusia M Saravanan berkata hampir 30,000 pekerja yang hilang pekerjaan sudah menerina pampasan melalui Skim Insurans Pekerjaan (EIS). – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Jun, 2020.

PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (Perkeso) setakat ini sudah membayar RM103 juta kepada hampir 30,000 pekerja yang hilang pekerjaan melalui Skim Insurans Pekerjaan (EIS), kata Menteri Sumber Manusia M Saravanan.

Beliau berkata sebahagian besar penerima pampasan itu datang dari sektor pembuatan.

“Hingga akhir Mei Perkeso sudah membayar RM103 juta kepada hampir 30,000 pekerja yang hilang pekerjaan.

“Pekerja dari sektor pembuatan adalah yang paling ramai menerima pampasan,” katanya kepada pemberita hari ini dalam sidang media selepas majlis pelantikan Lembaga Pengarah Perkeso di Menara Perkeso di Jalan Ampang, Kuala Lumpur hari ini.

Saravanan berkata selain sektor pembuatan, perhotelan dan pelancongan merupakan dua sektor lain yang berdepan cabaran terbesar semasa pandemik Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Beliau berkata pelbagai usaha dilakukan untuk mereka yang hilang pekerjaan termasuk peningkatan kemahiran sehingga mereka dapat tukar ke bidang lain.

“Kami sudah memperkenalkan pelbagai insentif. Dari segi perhotelan dan pelancongan kami lebih suka mengemaskan atau meningkatkan kemahiran mereka sehingga dapat beralih ke bidang lain atau mereka masih dapat tetap berada di sektor yang sama.  – 15 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen