China lapor 49 kes baharu Covid-19


Pintu masuk ke Pasar borong Xinfadi di Beijing ditutup. Kluster baharu Covid-19 dikesan di pasar itu minggu lalu. – Gambar EPA, 15 Jun, 2020.

PIHAK berkuasa kesihatan China hari ini melaporkan 49 kes baharu Covid-19, ketika kebimbangan muncul gelombang kedua penularan wabak di republik itu.

Daripada jumlah itu 36 kes dilaporkan di Beijing, di mana kluster baharu dikesan, yang ada kaitan dengan sebuah pasar borong.

Penularan wabak Covid-19 yang muncul pada Disember lalu berjaya dikawal selepas kerajaan menguatkuasakan perintah berkurung tetapi banyak kes baharu dikesan di Beijing minggu lalu.

Suruhanjaya Kesihatan Nasional (NHC) berkata selain Beijing, tiga lagi kes disahkan di wilayah Hebei.

Beijing telah memulakan ujian saringan besar-besaran di pasar borong Xinfadi. Ujian juga dijalankan ke atas orang ramai yang mengunjungi pasar itu sepanjang beberapa minggu lalu.

Selain itu pihak berkuasa juga bercadang untuk menjalankan ujian saringan berskala besar membabitkan 46,000 penduduk di kawasan sekitar. Setakat ini, seramai 10,000 penduduk telah menjalani ujian saringan.

Sebelas kawasan perumahan sekita pasar Xinfadi diletakkan di bawah perintah berkurung. Selain itu, penduduk di beberapa bandar dilarang membuat perjalanan ke Beijing.

Seramai 177 orang kini dijangkiti Covid-19 di China, dengan dua pesakit kritikal, kata pihak berkuasa. – AFP, 15 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen