Tamat tugas dari lembaga Perkeso tiada unsur politik, kata Azih Muda


Ragananthini Vethasalam

Bekas presiden Cuepacs Azih Muda yang ditamatkan tugas dari Lembaga Perkeso akan digantikan dengan Adnan Mat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Jun, 2020.

BEKAS presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Azih Muda yang ditamatkan tugas dari Lembaga Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan digantikan dengan Adnan Mat.

Azih bersama empat yang lain - Andrew Lo, Yong Hee Kong, Wee Hock Kee dan Japar Abd Majid - ditamatkan tugas berkuat kuasa hari ini.

Adnan merupakan presiden sekarang Perkeso.

“Saya akan digantikan oleh Pesiden Cuepacs Adnan Mat. Ini bukan sebab politik,” katanya.

Sementara itu, The Malaysian Insight juga difahamkan dua wakil Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dalam Lembaga Perkeso iaitu Andrew Lo dan Japar Abd Majid juga akan digantikan dengan dua individu lain dari kesatuan itu.

The Malaysian Insight difahamkan Presiden MTUC Abdul Halim Mansor akan dimasukkan semula ke dalam Lembaga Perkeso.

The Malaysian Insight sedang menunggu komen dari Halim.

Halim ditamatkan tugas dari Lembaga Perkeso pada September 2018 dan digantikan dengan Setiausaha Agung MTUC J Solomon, yang kemudian digantikan pula dengan Japar pada 31 Disember lalu.

Menteri Sumber Manusia M Saravanan akan menyerahkan surat pelantikan ahli baharu Lembaga Perkeso pada 11.30 pagi ini.

Lo dan Japar dilantik oleh kerajaan Pakatan Harapan. Menurut sumber, Yong dan Wee dilantik oleh kerajaan Perikatan Nasional.

Perkeso mempunyai 14 ahli lembaga termasuk tiga masing-masing dari wakil Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Kewangan dan Kementerian Kesihatan. – 15 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen