Eksport Malaysia terima tempias kemelesetan ekonomi AS, kata penganalisis


Ragananthini Vethasalam

Kemelesetan ekonomi AS yang berpanjangan akan menghalang pemulihan eksport Malaysia, kata Pengarah Eksekutif SERC Lee Heng Guie. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Jun, 2020.

AMERIKA Syarikat (AS) pada 8 Jun lalu umum ekonomi negara itu secara rasmi dilanda kemelesetan ekonomi pada Februari, dan sudah pasti akan mempengaruhi ekonomi Malaysia yang sudahpun terjejas akibat pandemik Covid-19, kata Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Sosio-Ekonomi (SERC) Lee Heng Guie.

“Kemelesetan ekonomi AS yang berpanjangan akan menghalang pemulihan eksport Malaysia kerana pasaran AS adalah sekitar 8%-9% daripada jumlah eksport negara,” beliau memberitahu The Malaysian Insight.

Felo Kanan di Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) Dr Shankaran Nambiar berkata eksport Malaysia akan terkesan.

“Walaupun kita sekarang di bawah PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan), tidak dinafikan bahawa persekitaran luaran adalah lemah. 

“AS akan melalui suku terburuk tahun ini. Kesannya, ia akan mempengaruhi perdagangan kita. Eksport kita akan terima tempiasnya,” kata Nambiar.

Tambah beliau sektor elektrik dan elektronik, yang menjadi antara eksport utama Malaysia ke AS dan penyumbang besar kepada jumlah eksport, mungkin akan merosot.

Satu lagi rakan dagang utama Malaysia iaitu China, walaupun cuba merangsang ekonomi domestiknya mungkin tidak cukup untuk membantu meningkatkan eksport negara, kata Nambiar.

“Ringkasnya, pertumbuhan suku kedua negara akan terjejas.

“Situasi terburuk akan dirasai pada suku kedua apabila syarikat eksport mendapat tahu permintaan dari AS dan China tidak menepati sasaran,” jelasnya.

Menurut data Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), eksport Malaysia menyusut sebanyak 23.8% kepada RM64.9 bilion pada April tahun ini, berbanding bulan sama tahun lepas.

Ia juga menandakan bulan pertama Malaysia mencatatkan defisit dagangan dalam tempoh 22 tahun sejak Oktober 1997. 

Perdagangan dengan China menyusut secara arginal 1.5%, manakala perdagangan dengan AS susut 19.6% kepada RM10.67 tahun ke tahun.

Perdagangan dengan China merangkumi 19.7% daripada jumlah perdagangan Malaysia manakala AS sebanyak 8%. – 15 Jun, 2020.     

Berita penuh di sini.        


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen