Penjaja tak sabar berniaga di pasar malam semula


Diyana Ibrahim

Pembukaan pasar terbuka, pasar pagi, pasar malam dan bazaria itu tertakluk kepada kelulusan untuk beroperasi bagi lokasi-lokasi secara terpilih.– Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Jun, 2020.

PENJAJA makanan di Selangor tidak sabar menunggu pasar malam dibuka dengan segera supaya tidak perlu lagi berniaga di tepi jalan tanpa lesen.

Usahawan ini memberitahu The Malaysian Insight, mereka tidak sanggup terus berniaga secara haram di tepi jalan kerana bimbang disaman Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan barangan niaga dirampas.

Namun mereka tiada pilihan selain terus berniaga di tepi jalan pada waktu ini walau hasilnya lebih rendah berbanding berniaga di pasar malam.

Penjaja Akmal Razali yang menjual ayam gunting berkata biarpun tahu gerainya berisiko disita, beliau tetap berniaga di tepi jalan kerana itu sajalah cara untuk penjaja meraih pendapatan.

“Kami ini peniaga pasar malam. Tapi disebabkan tidak ada lagi kebenaran dari PBT, jadi kami ini orang kata macam merempatlah tak tahu nak berniaga di mana.

“Jadi mana-mana tempat di tepi jalan ini yang boleh berniaga kami buatlah, tapi kami cuma hanya ada lesen untuk pasar malam,” kata Akmal, 35, ketika ditemui di gerainya di Klang.

Perkara sama juga dibangkitkan oleh seorang lagi penjaja pasar malam, Mohd Yusof Baharom, 36, yang amat berharap operasi pasar malam dapat diputuskan secepat mungkin oleh kerajaan negeri.

Sama seperti Akmal, Mohd Yusof juga terpaksa berniaga kuih-muih di tepi jalan di Shah Alam kerana masih tidak dapat berniaga di pasar malam.

Beliau juga mendedahkan, jualannya tidak begitu memberangsangkan biarpun sudah membuka gerainya lebih dua minggu.

“Saya berniaga sejak hari raya kedua lagi, tapi hasil jualan kurang berbanding jual di pasar malam.

“Sebab pasar malam kita sudah ada pelanggan tetap dan pelanggan lagi ramai, dan kita bukanlah masuk satu dua pasar malam saja,” katanya.

Keliru dengan SOP

Mereka juga masih keliru dengan prosedur operasi kerana masih belum ditetapkan kerajaan negeri yang berkuasa menyelaraskannya berdasarkan SOP dikeluarkan kerajaan persekutuan.

“Itu pun kita masih tak pasti, tidak diberi bayangan lagi oleh PBT. Tapi kami harap apa pun yang dikenakan ia tidak terlalu menekan kami penjaja yang sangat terjejas sebelum ini,” katanya.

Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob pada Rabu mengumumkan, pasar malam, pasar pagi dan bazar dibenarkan beroperasi semula hari ini mengikut waktu serta syarat tertentu.

Menurut kebenaran tersebut, pasar pagi boleh beroperasi dari 6 pagi hingga 11 pagi, pasar malam dari 4 petang hingga 10 malam dan bazar dari 5 petang hingga 11 malam.

Antara SOP yang ditetapkan ialah jarak sosial kedudukan gerai 1.5 meter hingga dua meter antara satu sama lain di kawasan terbuka dan perlu dipagar bagi mengawal laluan keluar masuk sehala.

Kebenaran operasi itu selaras dengan pelaksanaan Perintah kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Ahad.

Operasi pasar malam dan bazaria itu juga dibenarkan di Selangor secara berperingkat mulai hari ini.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dalam kenyataannya berkata setiap PBT berkuasa menyelaraskannya berdasarkan SOP dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Pejabat Menteri Besar Selangor ketika dihubungi The Malaysian Insight memaklumkan, SOP bagi operasi pasar malam, pasar pagi dan bazar tersebut akan diputuskan.

Tiada pilihan

Kalangan penjaja juga memberitahu, mereka berniaga di tepi jalan kerana itu sahajalah cara yang mampu dilakukan untuk meraih pendapatan.

Itupun, hasil jualan tidak begitu mengalakkan biarpun sudah seminggu beroperasi, kata seorang penjaja kerepek di Klang, Saonah Ishya.

Saonah, 44, berkata beliau mula berniaga di tepi jalan sejak tahun lepas selepas suaminya tidak lagi boleh bekerja kerana faktor kesihatan.

“Kalau ikutkan orang kurang membeli berbanding dulu, macam saya kurang dari separuh juga.

“Mungkin sebab baru lagi atau mungkin sebab ramai yang diberhenti kerja, itu pun beri kesan juga,” katanya.

Seorang lagi penjaja, Zainun Muhammad, yang menjual makanan bergoreng seperti pisang dan cucur udang berkata beliau bersyukur sahaja asalkan dapat meraih pendapatan.

Zainun berkata sebelum ini berniaga di Shah Alam namun terpaksa berpindah ke Klang kerana pihak berkuasa tempatan di situ enggan mengeluarkan lesen penjaja kecil.

“Majlis Bandar Raya Shah Alam tak nak bagi lesen, atas alasan mereka suruh kita penjaja berniaga di kedai, tapi manalah kita mampu.

“Sebab itu sekarang berniaga di Klang, biarpun terpaksa kurangkan harga jualan tapi bolehlah daripada tidak boleh berniaga.

“Lagi pun ada anak kawan makcik kata nak tolong uruskan permohonan dapatkan lesen di Majlis Perbandaran Klang,” kata Zainun, 62, yang berkerusi roda.

Penjaja harapkan duit bantuan

Ditanya mengenai kesusahan dialami mereka untuk menyara hidup semasa tempoh PKP, kesemua penjaja ini berkata mereka hanya dapat mengharapkan duit bantuan dari kerajaan.

Zainun berkata tempoh PKP merupakan waktu yang sukar kerana mereka kehilangan sumber pendapatan tambahan untuk menyara seorang anak angkatnya.

“Makcik dah tak boleh berjalan, pakai kerusi roda saja sekarang. Tapi berniaga sebab nak sara anak angkat, anak yatim, sekarang dia nak peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia.

“Jadi nak bayar sekolah, yuran tuisyen, buku, belanja banyak. Memang ada bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat, zakat tapi tidak cukup,” katanya yang sudah berniaga lebih 30 tahun. – 15 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen