ANGGOTA Tabligh Sri Petaling mengunjungi 120 sekolah tahfiz lebih daripada lima kali, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.
Kira-kira 4.1% atau 718 dari 17477 pelajar tahfiz yang disaring telah diuji positif Covid-19.
“Bukannya kita ingin memberikan stigma terhadap mereka tetapi kita ingin memastikan bahawa mereka tidak membawa virus tersebut,” katanya.
“Ini kerana kami mendapati Jemaah Tabligh telah mengunjungi 120 sekolah Tahfiz lebih dari lima kali,” tambahnya.
Dr Noor Hisham berkata pelajar dari 120 sekolah telah didaftarkan di kementerian tersebut bagi membolehkan kementerian memantau keadaan mereka.
“Pelajar-pelajar pulang ke kampung halaman semasa PKP. Kami mempunyai nama mereka dan tahu di mana mereka berada sehingga kami dapat melakukan pengesanan kontak rapat,” katanya.
Pelajar madrasah tahfiz juga merupakan salah satu dari sembilan kumpulan sasaran yang telah dikenal pasti kementerian sebagai berisiko dijangkiti koronavirus.
Seorang tahanan di depoh imigresen Bukit Jalil adalah orang ke-121 yang terkorban akibat Covid-19 di Malaysia hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan mengatakan bahawa si mati adalah warganegara India berusia 67 tahun yang mempunyai sejarah penyakit kronik seperti diabetes, tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan penyakit buah pinggang.
Mengenai jangkitan baharu, negara sekali lagi melaporkan angka satu digit kes baharu dengan lapan kes.
Beliau berkata ini menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan berjumlah 8453 sementara jumlah kes aktif berjumlah 986 orang.
Dr Noor Hisham berkata, dua kes baharu itu diimport dan melibatkan penduduk tetap sementara selebihnya adalah penularan tempatan, menyaksikan dua kes melibatkan warga Malaysia.
Katanya, empat daripada jangkitan baharu penularan tempatan dikesan di tapak pembinaan Kuala Lumpur 2 melibatkan warga Bangladesh.
Sementara itu, katanya, 35 orang disahkan pulih dan dibenarkan pulang, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pemulihan sebanyak 7346.
Setakat ini, empat pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU). – 14 Jun, 2020.
Komen